Johor bukan hanya terima manfaat, turut jadi pemacu ekonomi - Utusan Malaysia

Johor bukan hanya terima manfaat, turut jadi pemacu ekonomi

LEE TING HAN (dua dari kanan) bergambar bersama peserta delegasi ketika melawat reruai pada Forum Nikkei Medini Johor di Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor bukan sahaja penerima manfaat daripada dasar-dasar ekonomi dilaksanakan kerajaan, malah turut menjadi pemacu bagi pertumbuhan ekonomi negara dan rantau ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, negeri ini sedang berubah daripada sebuah pangkalan industri tradisional menjadi kuasa ekonomi generasi baharu. 

Katanya, perkara itu hasil adunan dasar ekonomi yang tepat, lokasi strategik dan kelancaran perkhidmatan disediakan agensi-agensi terlibat.

“Inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) membuktikan dasar yang dilaksanakan boleh membuka sinergi rentas sempadan dalam perdagangan, bakat dan teknologi, sekali gus membentuk ekosistem lancar untuk industri bernilai tinggi. 

“Menerusi fokus diberikan terhadap pelaksanaan, kesiapsiagaan infrastruktur dan keyakinan pelabur, Johor telah menunjukkan pertumbuhan ekonomi boleh diagihkan ke peringkat negeri, sekali gus membawa transformasi sebenar di lokasi rakyat,” katanya dalam Forum Nikkei Medini Johor, di sini hari ini.

Ting Han berkata, Johor menyediakan ekosistem bersepadu yang lengkap dengan infrastruktur teknologi berprestasi tinggi, penyelesaian tenaga boleh diperbaharui dan dasar yang jelas.

“Ini secara tidak langsung menjadi platform pembangunan projek dalam bidang teknologi Kecerdasan Buatan (AI), pusat data hijau, teknologi kewangan dan banyak lagi.

“Asia merupakan kawasan yang didiami lebih 4.7 bilion penduduk dan akan terus menjadi hab pembuatan dunia. Ia juga kini sedang muncul sebagai enjin inovasi global dan Johor sedia menjadi sebahagian enjin pembangunan ekonominya,” katanya.

Forum Nikkei Medini Johor yang bertemakan ‘Menerajui Hab Inovasi Asia”  akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN