JKDM rampas bunga ganja lebih RM1.43 juta

JKDM rampas bunga ganja lebih RM1.43 juta

SEBAHAGIAN dadah dipercayai bunga ganja yang dirampas JKDM Kelantan di Pintu 1, Zon Bebas Rantau Panjang, Kelantan baru-baru ini-IHSAN JKDM KELANTAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menggagalkan cubaan menyeludup dadah disyaki jenis bunga ganja bernilai lebih RM1.43 juta dalam dua pemeriksaan berasingan di Pintu 1, Zon Bebas Rantau Panjang dekat sini pada 27 Mei lalu.

Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pemeriksaan pertama pada pukul 9.15 malam itu dilakukan sejurus menerima maklumat dari orang awam yang melihat sebuah beg yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas beg pakaian itu telah menjumpai 10 paket plastik lutsinar yang disyaki bunga ganja.

“Pemeriksaan kedua kita lakukan ke atas lelaki warganegara Thailand yang melalui kawasan tersebut sambil membawa sebuah beg. Pemeriksaan lanjut menjumpai 15 paket plastik lutsinar yang disyaki bunga ganja.

“Kesemua beg yang disyaki mengandungi bunga ganja dan lelaki tersebut dibawa balik ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan, Rantau Panjang untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan dadah tersebut diseludup masuk ke negara ini melalui pangkalan haram yang terdapat di Sungai Golok.

Katanya, dadah tersebut kemudian akan dibawa keluar melalui
Zon Bebas Rantau Panjang dan dipercayai untuk dihantar ke destinasi yang telah ditetapkan.

“Kes disiasat di mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jadi kami (JKDM Kelantan) menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-8855,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN