KANGAR: Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) kecewa dengan sikap acuh tidak acuh dan tidak bertanggungjawab kerajaan negeri dalam menangani krisis bola sepak di negeri ini.
PFA dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan berdiam diri, kegagalan memberi sokongan dan ketiadaan pelan pemulihan yang jelas memberi gambaran bahawa kerajaan negeri tidak lagi berminat untuk melihat persatuan bola sepak negeri itu untuk terus hidup.
Kata kenyataan itu, atas kegagalan itu, PFA tidak dapat menolak tanggapan bahawa terdapat niat tersembunyi atau kecenderungan untuk ‘membunuh’ PFA secara perlahan-lahan sama ada melalui pengabaian sokongan kewangan, pengasingan pentadbiran atau menafikan hak bersuara kepada penggiat sukan akar umbi.
“Kami ingin mengingatkan bahawa bola sepak negeri bukan sekadar sukan, ia adalah simbol perpaduan, aspirasi belia dan maruah rakyat Perlis di pentas kebangsaan.
“Mengabaikan PFA seolah-olah memadamkan api semangat generasi muda yang bercita-cita mengharumkan nama negeri,” kata kenyataan itu.
Seterusnya PFA menuntut kerajaan negeri menjelaskan secara terbuka pendirian rasmi terhadap hala tuju bola sepak negeri.
Selain itu, persatuan berkenaan menuntut kerajaan negeri menyalurkan bantuan kewangan atau geran khas untuk menyelamatkan PFA.
“Seterusnya, mewujudkan satu jawatankuasa khas bersama PFA dan penggiat sukan negeri untuk merangka pelan penyelamatan dan pembangunan jangka panjang.
“Kami juga menyeru agar kerajaan negeri menghentikan budaya berdiam diri ini. Jangan hanya menunggu PFA tumbang sepenuhnya sebelum tampil dengan retorik simpati.
“Jika benar ingin membunuh PFA, nyatakan secara jujur di hadapan rakyat. Jika tidak, buktikan keikhlasan dengan tindakan bukan sekadar kata-kata,” katanya.-UTUSAN