TEHERAN: Tentera Israel mendakwa melancarkan serangan ke atas reaktor nuklear Arak di Iran serta satu lagi tapak yang dikenal pasti sebagai pusat pembangunan senjata nuklear berhampiran Natanz, semalam.
Di antara tapak nuklear Iran, terdapat sebuah reaktor penyelidikan air berat yang masih dalam pembinaan, di mana dahulunya dikenali sebagai Arak dan kini dinamakan Khondab.
Media Iran hari ini melaporkan, sistem pertahanan udara diaktifkan di kawasan kemudahan nuklear Khondab, dengan dua peluru berpandu mengenai kawasan berhampiran tapak tersebut.
Pegawai Iran memberitahu stesen televisyen negara itu, pemindahan dilakukan sebelum serangan dan tiada risiko radiasi atau korban dikesan.
Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan mengenai kerosakan.
Natanz, yang sebelum ini diserang oleh Israel dalam perang udara yang kini memasuki hari keenam, merupakan lokasi penting dalam program nuklear Iran, merangkumi dua loji pengayaan.
Tentera Israel turut mendakwa menyasarkan struktur teras reaktor di Arak, yang dikenal pasti sebagai komponen utama dalam pengeluaran plutonium.
Khondab menempatkan sebuah reaktor penyelidikan air berat yang masih dalam pembinaan.
Pembinaannya dihentikan di bawah perjanjian nuklear 2015 antara Iran dan kuasa dunia, serta teras reaktor dikeluarkan dan diisi dengan konkrit bagi memastikannya tidak boleh digunakan.
Bagaimanapun, Iran memaklumkan kepada agensi pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa ia merancang untuk mengendalikan reaktor itu pada 2026.
Reaktor air berat menimbulkan risiko percambahan nuklear kerana ia boleh menghasilkan plutonium dengan mudah, seperti uranium diperkaya, boleh digunakan untuk membina teras bom nuklear.- AGENSI









