Iran sedia selesai pertikaian ikut kerangka antarabangsa

Iran sedia selesai pertikaian ikut kerangka antarabangsa

RAKYAT Iran memegang poster dengan potret Ayatollah Ali Khamenei, ketika meraikan gencatan senjata antara Iran dan Israel di Dataran Enghlab di Teheran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menyatakan kesediaan negaranya untuk menyelesaikan pertikaian dengan Amerika Syarikat (AS) berdasarkan kerangka undang-undang antarabangsa.

Menurut televisyen negara Iran, Pezeshkian mengadakan perbualan telefon dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohammed bin Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.

“Kami berharap rundingan antara Iran dan AS dapat dimulakan dalam masa terdekat dan membawa kepada hasil yang positif,” kata Pezeshkian dalam perbualan dengan Putera Mohammed bin Salman.

Beliau berkata, Iran menginginkan perjanjian yang adil dan munasabah selaras kerangka undang-undang antarabangsa iaitu perjanjian yang memastikan hak rakyat serta menyumbang kepada kestabilan dan pembangunan serantau.

“Kami tidak menuntut lebih daripada hak yang sewajarnya dan mengalu-alukan sebarang sokongan daripada negara sahabat dan bersaudara dalam menyelesaikan isu ini,” katanya.

Laporan itu turut menyebut Putera Mahkota Arab Saudi menyatakan negaranya mengecam tindakan Israel terhadap Iran sejak awal konflik.

Dalam perbualan dengan Presiden UAE, Pezeshkian menyatakan mereka mampu membina rantau itu bersama tanpa campur tangan asing, dalam suasana kerjasama, kestabilan dan keamanan.

Presien UAE itu menegaskan kepentingan memastikan kejayaan perjanjian yang memberi manfaat kepada semua negara dan rakyat di rantau itu, sambil mengulangi pendirian UAE yang menyokong inisiatif ke arah keamanan dan keselamatan serantau.

Pezeshkian pula menegaskan konspirasi musuh tidak mampu menggugat persahabatan antara Iran dan Pakistan dalam perbualannya dengan Sharif.

Israel mula melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran sejak 13 Jun lalu, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear dengan mendakwa Teheran hampir menghasilkan bom nuklear namun dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Iran.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron, sebelum AS campur tangan dengan mengebom tiga lokasi nuklear Iran pada Ahad.- ANADOLU

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×