TEHERAN: Iran mempertimbangkan untuk menggantung kerjasama dengan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), susulan serangan ke atas kemudahan nuklearnya, menurut presidium anggota Parlimen, Ruhollah Motefakerzadeh.
Agensi berita rasmi Iran, IRNA, turut melaporkan kenyataan Speaker Parlimen, Mohammad Baqer Qalibaf berhubung langkah sama.
“Kami di Parlimen sedang berusaha meluluskan rang undang-undang untuk menggantung kerjasama Iran dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sehingga kita menerima jaminan objektif terhadap tingkah laku profesional organisasi antarabangsa itu,” katanya.
AIEA merupakan badan pemantau nuklear di bawah PBB yang ditugaskan untuk mempromosi penggunaan tenaga nuklear secara aman dan menghalang penggunaannya bagi tujuan ketenteraan.
Ia melapor kepada Perhimpunan Agung PBB dan Majlis Keselamatan, serta beribu pejabat di Pejabat PBB di Vienna, Austria.
Qalibaf menegaskan bahawa Teheran tidak mengejar senjata nuklear.
“Seluruh dunia dapat melihat dengan jelas bahawa Agensi Tenaga Atom tidak menunaikan sebarang kewajiban dan menjadi alat politik,” katanya.- AGENSI









