ARAU: UMNO dan Pakatan Harapan (PH) menjalinkan kerjasama erat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) termasuk melibatkan soal pembahagian kerusi.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd Rahman berkata, terdapat persetujuan telah dicapai sebelum ini di mana pembahagian kerusi PRU16 akan dibuat mengikut kepada beberapa penetapan.
Katanya, sebagai contoh, parti mana yang mendapat tempat kedua tertinggi dalam PRU15, akan bertanding semula di kerusi berkenaan dan perkara ini juga akan digunapakai dalam penetapan kerusi selepas ini.
“Kepimpinan pusat juga akan bincang untuk tentukan mengenai perkara ini dan bagi konteks UMNO, saya percaya kita akan tanding lebih kerusi di negeri ini dalam PRU16 akan datang.
“Ini kerana hampir semua kerusi di Perlis, UMNO mendapat tempat kedua dan oleh sebab itulah adanya semangat kebersamaan dengan parti-parti rakan untuk membincangkan mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Arau di Dewan Sivik Arau, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Rozabil berkata, UMNO dan PH akan membincangkan cara terbaik berhubung soal pembahagian kerusi PRU16 bagi memuaskan hati semua pihak.
“Perkara ini juga bergantung kepada sokongan di peringkat akar umbi, kalau akar umbi tak sokong dan tak boleh terjemahkan dalam undian, maka ini amat bahaya untuk hadapi PRU16.
“Dan pada parti-parti yang berminat untuk bertanding mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mereka fikirkan, maka kena mula buat kerja dari sekarang,” katanya.
Tambahnya, UMNO kini sememangnya giat turun padang menyantuni rakyat dan beliau berharap agar rakan-rakan parti lain itu juga dapat bertindak sama bagi meraih semula sokongan rakyat pada PRU16.
“Kita kena pastikan kemenangan bersama dengan yakinkan rakyat dan hal remeh-temeh kita akan selesai pada waktu bersesuaian,” katanya.-UTUSAN