PETALING JAYA: Penggunaan Akaun 2 bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membiayai premium bulanan insurans kesihatan disarankan menjadi langkah jangka panjang yang mampu menjamin kualiti hidup rakyat selepas bersara.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, inisiatif tersebut adalah mekanisme yang selamat dan praktikal, terutama dalam status Malaysia yang bakal menjadi negara tua menjelang 2030.
“Sektor kesihatan awam kita masih sederhana. Waktu menunggu lama dan fasiliti terhad. Jadi kita kena mencari inisiatif lain, jika caruman ini dapat membantu rakyat mendapatkan rawatan lebih cepat dan berkualiti, kerajaan patut membenarkannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan langkah itu memberi kesan kepada jumlah simpanan hari tua namun dengan meningkatkan gaji minimum rakyat ia dapat membantu menstabilkan Akaun 2 KWSP pencarum.
“Apabila gaji minimum rakyat lebih tinggi, maka caruman KWSP juga akan meningkat. Maka, penggunaan Akaun 2 untuk insurans kesihatan tidak merugikan, sebaliknya memberi perlindungan kesihatan yang lebih baik pada usia persaraan,” katanya.
Katanya, pendekatan itu bersifat selamat, mudah dan dijamin malah dapat mengurangkan risiko rakyat gagal membayar premium insurans secara konsisten.
“Ini satu mekanisme paksa rela yang boleh berfungsi. Walaupun pendapatan dipotong terus, dibayar kepada penyedia insurans, rakyat tidak perlu lagi bimbang tentang beban bayaran bulanan.
“Kita kehilangan sedikit wang dalam Akaun 2 tetapi yang kita dapat jauh lebih besar iaitu jaminan kesihatan dan kualiti hidup yang lebih baik selepas bersara,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membenarkan penggunaan Akaun 2 KWSP bagi membiayai premium bulanan insuran kesihatan.-UTUSAN.










