Berlagak jadi pendamai, konflik Iran-Israel serlah hipokrasi Trump

Berlagak jadi pendamai, konflik Iran-Israel serlah hipokrasi Trump

PENUNJUK perasaan memegang sepanduk memaparkan karikatur Presiden Donald Trump, semasa protes terhadap konflik Israel-Iran dan solidariti terhadap rakyat Gaza di Seoul, pada 22 Jun lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dilihat cuba menampilkan dirinya sebagai pendamai susulan pengumuman mengejut mengenai gencatan senjata antara Israel dan Iran.

Gencatan senjata itu diumumkan Trump melalui media sosial, hanya beberapa jam selepas Teheran melancarkan peluru berpandu ke arah pangkalan tentera AS di Qatar, sebagai tindak balas terhadap serangan besar-besaran Washington ke atas tapak nuklear utama Iran.

Israel, Iran dan Trump mengisytiharkan kemenangan masing-masing selepas 12 hari konflik yang meragut ratusan nyawa dan memusnahkan infrastruktur awam serta ketenteraan.

Sebelum ini, Trump dikritik hebat, termasuk oleh penyokongnya sendiri, kerana mengingkari janji kempen untuk tidak melibatkan AS dalam perang luar negara.

Namun, tindakan beliau mengumumkan gencatan senjata selepas insiden ketenteraan yang hampir mencetuskan perang besar-besaran di Asia Barat, dilihat sebagai percubaan mencipta naratif baharu daripada pencetus ketegangan kepada watak ‘pendamai’.

HAD SOKONGAN AS

Felo Kanan di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Will Todman berpendapat, Trump tidak mahu melihat satu lagi perang besar meletus semasa pentadbirannya.

“Saya rasa kerajaan Israel tidak mampu untuk meneruskan perang jangka panjang, tetapi faktor utama di sini adalah Presiden Trump.

“Beliau tidak mahu melihat satu lagi perang tercetus di rantau ini semasa pentadbirannya,” katanya.

Trump mengejutkan ramai termasuk penasihat dan sekutu rapat mengumumkan gencatan senjata selepas serangan balas Iran terhadap pangkalan tentera AS di Qatar.

Presiden AS itu kemudiannya memilih untuk tidak bertindak balas secara ketenteraan, sebaliknya menggunakan media sosial untuk menggesa Israel menghentikan sebarang serangan baharu terhadap Iran.

Iran pula dilihat memerlukan ‘jalan keluar’ daripada konflik tersebut selepas mengalami serangan paling buruk sejak Perang Iran-Iraq pada 1980 hingga 1988.

Sementara itu, Israel yang sudah terbeban dengan operasi ketenteraan di Gaza, Syria dan Lubnan, kini turut menyaksikan rakyatnya berdepan serangan udara paling lama dalam beberapa dekad akibat tindak balas Iran.

Selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memuji campur tangan Trump, Todman menyifatkan amaran Presiden AS itu sebagai isyarat jelas mengenai had sokongan Washington terhadap sekutunya itu.

APA YANG DICAPAI?

Trump menyifatkan campur tangannya dalam konflik itu sebagai kejayaan besar, meskipun ramai penganalisis memberi amaran tindakan menyerang Iran berisiko mendorong Teheran mempercepatkan usaha membangun bom nuklear.

Beliau mendakwa, program nuklear Iran ‘dimusnahkan sepenuhnya’ namun laporan sulit yang diperoleh CNN dan The New York Times menunjukkan serangan udara AS tidak memusnahkan bahagian teras di tiga tapak nuklear utama Iran.

Laporan awam perisikan AS mendedahkan serangan udara AS ke atas Iran hanya melengahkan program nuklear negara itu selama beberapa bulan.

Media AS yang memetik sumber mendakwa, serangan hujung minggu lalu tidak berjaya memusnahkan keseluruhan sistem pengayaan uranium dan stok simpanan bahan nuklear Iran.

Menurut laporan itu, serangan hanya menutup pintu masuk ke beberapa kemudahan tanpa merosakkan struktur bawah tanah yang menempatkan peralatan utama.

Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, mengesahkan kewujudan laporan tersebut tetapi menyifatkan penilaian itu tidak benar, selain menuduh pihak yang membocorkan dokumen rahsia sebagai cuba menjatuhkan kredibiliti Trump.

“Kebocoran penilaian itu jelas satu percubaan untuk memperlekehkan Presiden Trump dan menafikan keberanian juruterbang tentera yang melaksanakan misi dengan sempurna,” katanya dalam kenyataan di platform X.

Felo Kanan di Institut Asia Barat, Brian Katulis berkata, masih terlalu awal untuk memastikan sama ada gencatan senjata antara Israel dan Iran akan bertahan.

Menurutnya, negara Arab Teluk yang diketuai Qatar, memainkan peranan penting menerusi usaha diplomasi senyap untuk mengembalikan ketenangan di rantau itu.

“Trump hanya lantang menggunakan kuasa media sosialnya untuk cuba mengawal tindakan Israel dan Iran, tetapi peranan sebenar dimainkan oleh negara-negara ini jauh lebih besar dan berterusan,” kata Katulis mengenai negara Teluk Arab.

Beliau berkata, gabungan antara operasi ketenteraan taktikal Trump dan komunikasi strategik yang keterlaluan mengelirukan rakyat Amerika serta masyarakat antarabangsa mengenai matlamat sebenar yang cuba dicapai oleh pentadbirannya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×