SIK: Impian seorang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 untuk melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, mungkin terhalang disebabkan kekangan kewangan dihadapi keluarganya.
Muhamad Syahmi Azril SaidiJamal, 18, berkata, cita-cita menjadi guru mungkin tidak tercapai walaupun telah menerima surat tawaran untuk mendaftar pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di situ.
“Keluarga tidak mampu sediakan wang untuk yuran pengajian jika saya sambung pelajaran di IPG itu. Bapa saya, SaidiJamal Abu Said, 43, hanya penoreh getah dan perlu tanggung dua lagi adik yang masih bersekolah.
“Ibu, Nor Azlinda Ahmad, 38, pula tidak bekerja dan mengidap penyakit kanser payudara tahap empat sejak lebih setahun lalu serta perlukan perhatian yang rapi dan belanja perubatan yang banyak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Bandar Baru Beris Jaya.
Dalam peperiksaan SPM yang lalu, Muhamad Syahmi Azril memperolehi keputusan 2A, 3A, 4B, 1C+, dan 1C, yang membolehkan hasrat bergelar pendidik semakin hampir.
“Saya perlu tunjuk contoh yang baik kepada adik-adik untuk terus belajar agar dapat ubah nasib serta masa hadapan keluarga kami, tetapi masalahnya, bapa tak mampu,” katanya.
Bagi mereka yang ingin membantu Muhammad Syahmi Azril boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional miliknya 0299541100934925 atau menghubunginya di nombor 0138293035.-UTUSAN.










