STOCKHOLM: Pembuat kereta yang berpangkalan di Sweden, Volvo Cars, akan memberhentikan kira-kira 3,000 pekerja sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan kos syarikat itu.
Menurut kenyataan syarikat, langkah pemberhentian itu akan memberi kesan terutama kepada jawatan berasaskan pejabat di Sweden, mewakili kira-kira 15 peratus daripada tenaga kerja kolar putihnya.
Bulan lalu, Volvo Cars, yang dimiliki oleh kumpulan China, Geely Holding, mengumumkan pelan tindakan penstrukturan semula bernilai AS$1.9 bilion (RM8.04 bilion).
Industri automotif global kini berdepan pelbagai cabaran utama termasuk tarif import 25 peratus oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, peningkatan kos bahan mentah dan kelembapan jualan di Eropah.
Ketua Eksekutif Volvo Cars, Hakan Samuelsson menyifatkan tempoh mencabar bagi industri automotif, yang menjadi punca utama keputusan pemberhentian pekerja.
“Tindakan yang diumumkan adalah keputusan sukar, tetapi ia adalah langkah penting dalam usaha kami membina Volvo Cars yang lebih kukuh dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan.
Awal bulan ini, syarikat itu melaoirkan jualan global bagi bulan April merosot sebanyak 11 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Volvo Cars mempunyai ibu pejabat dan pejabat pembangunan utama di Gothenburg, Sweden.
Ia juga mempunyai kilang pengeluaran utama di Sweden, Belgium, China dan AS.
Syarikat itu dijual oleh gergasi automotif AS, Ford, kepada Geely dari China pada 2010.
Pada 2021, Volvo mengumumkan rancangan untuk menjadikan semua keretanya berkuasa elektrik menjelang 2030.
Namun, tahun syarikat itu mengurangkan sasaran tersebut disebabkan beberapa isu, termasuk ketidaktentuan akibat tarif baharu ke atas kenderaan elektrik (EV) di pelbagai pasaran.- BBC










