ROMPIN: Dalam usaha memperkasa sistem kesihatan awam negara dan mendepani cabaran penyakit tidak berjangkit (NCD), sekumpulan penyelidik dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) membangunkan inovasi kesihatan terkini yang berpotensi mengubah landskap penjagaan kesihatan pencegahan di Malaysia.
Inovasi tersebut dinamakan Pengesanan Awal Automatik Kanser dan Glaukoma Berkaitan Diabetes (Clear-D), iaitu sistem pintar pengesanan awal yang direka khusus bagi penghidap diabetes iaitu kumpulan yang berisiko tinggi terhadap penyakit kanser dan glaukoma.
Menggabungkan teknologi analitik pintar, antara muka mesra pengguna dan akses yang meluas, Clear-D menampilkan sistem saringan tidak invasif yang boleh digunakan di pelbagai lokasi termasuk kawasan luar bandar yang sering kekurangan fasiliti kesihatan khusus.
Ketua projek, Siti Fara Fadila Abd. Razak menyifatkan inovasi itu sebagai satu anjakan paradigma dalam bidang kesihatan komuniti.
“Clear-D bukan hanya alat saringan tetapi sebuah platform pemerkasaan kesihatan untuk membina masyarakat yang bebas daripada kebimbangan terhadap kanser dan glaukoma,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Siti Fara Fadila berkata, Clear-D menggunakan algoritma pintar dan analisis simptomatik untuk mengenal pasti tanda awal penyakit, membolehkan rawatan dimulakan lebih awal serta meningkatkan kadar kelangsungan hidup.
“Rawatan pada peringkat awal terbukti lebih murah dan kurang invasif berbanding rawatan bagi pesakit yang sudah berada pada tahap lanjut. Ini mengurangkan beban kewangan pesakit serta tekanan terhadap sistem kesihatan awam.
“Sistem ini direka bentuk dengan antara muka berbilang bahasa dan mudah digunakan oleh golongan warga emas, membolehkan ia diakses oleh penduduk luar bandar dan kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata, tanpa teknologi seperti Clear-D, ramai pesakit hanya dikesan setelah penyakit berada pada tahap lanjut dan terpaksa menunggu lama untuk rawatan, berdepan tekanan mental serta beban kewangan yang tinggi.
“Sebaliknya, dengan Clear-D, pesakit mendapat akses rawatan lebih awal, boleh merancang kewangan dengan lebih baik, menerima sokongan psikososial yang diperlukan dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik,” katanya.-UTUSAN.