JERANTUT: Tujuh sekeluarga hilang harta benda dan tempat tinggal apabila rumah kayu didiami mereka hangus terbakar dalam kejadian di Kampung Mogol, pedalaman Ulu Tembeling di sini.
Dalam kejadian pukul 7.35 petang semalam, api marak begitu cepat kerana faktor angin sehingga rumah pusaka yang didiami keluarga berkenaan hangus dalam tempoh cuma 45 minit.
Seorang mangsa, Hasni Ali, 51, berkata, dia baharu berkira-kira untuk menunaikan solat Maghrib tiba-tiba dikejutkan dengan teriakan seorang ahli keluarga memberitahu rumah terbakar dari arah sebuah bilik tidur.
“Saya bergegas keluar dan terkejut api mula marak dengan kuat dari sebuah bilik dengan pantas dan bahang panas yang kuat kebetulan pula rumah ini diperbuat daripada kayu.
“Kedengaran jeritan dari luar, seorang ahli keluarga meminta saya segera keluar kerana kediaman ini hampir dikelilingi dengan api yang marak,” katanya di Kampung Mogol, Ulu Tembeling di sini.
Menurut Hasni, mujur dia cepat keluar menyelamatkan diri jika lewat berkemungkinan disambar api yang meratah rumah pusaka itu.
“Ketika saya keluar, suami bersama ahli keluarga yang lain sudah berada agak jauh dari rumah yang terbakar cuma hanya mampu melihat api yang marak dan runtuhan kayu ke tanah sambil orang kampung cuba memadamkan kebakaran.
“Saya bersama empat orang dewasa yang mempunyai pertalian saudara dan dua kanak-kanak yang tinggal bersama selamat dalam kejadian ini,” katanya.
Hasni berkata, kesemua pakaian, dokumen penting, peralatan ruang tamu dan dapur hangus dijilat api, kini mereka tinggal sehelai sepinggang menumpang di rumah saudara dalam tempoh pemulihan.
Sementara itu, abang Hasni, Mohd. Zaimi, 59, berkata, dia bergegas ke tempat kejadian kira-kira dua kilometer apabila mendengar berita kebakaran rumah mangsa.
“Ketika saya tiba keadaan rumah sudah hangus dan cuma tinggal bara api yang masih menyala, manakala harta benda keluarga itu musnah,” katanya. – UTUSAN