TH belum terima aduan rasmi rakyat Malaysia diusir tiada visa haji

TH belum terima aduan rasmi rakyat Malaysia diusir tiada visa haji

MOHD. Na'im Mokhtar melihat buku ketika merasmikan Pavilion Al-Falah dan melancarkan buku baharu sempena PBAKL 2025 di WTC Kuala Lumpur. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) setakat ini masih belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan pengusiran 63 rakyat Malaysia oleh pihak berkuasa Arab Saudi ekoran tidak memiliki visa haji yang sah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pihaknya telah mendapatkan maklumat daripada Ketua Jabatan Haji Tabung Haji, Mohd. Hisham Harun yang kini berada di tanah suci bagi menyelia operasi pengurusan jemaah haji Malaysia.

Menurutnya, berdasarkan maklumat semasa daripada pasukan Tabung Haji di Mekah, tiada sebarang aduan rasmi diterima daripada mana-mana pihak berkaitan kes berkenaan, termasuk daripada mereka yang didakwa diusir atau ahli keluarga terlibat.

“Setakat ini tiada aduan rasmi diterima. Saya sendiri telah berhubung dan bercakap dengan pihak pengurusan Tabung Haji di tanah suci. Mereka mengesahkan bahawa operasi berjalan lancar dan semua jemaah haji Malaysia yang berdaftar berada dalam keadaan baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pavilion Al-Falah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) di sini, semalam.

Sebelum ini, media tempatan dan antarabangsa melaporkan bahawa seramai 63 rakyat Malaysia telah diusir dari Mekah ke Jeddah selepas didapati tidak memiliki visa haji yang sah.
Jumlah itu direkodkan oleh pejabat perwakilan Malaysia di Arab Saudi sejak 29 April hingga Jumaat lalu.

Difahamkan, kebanyakan daripada mereka berada di Mekah menggunakan visa pelancong atau visa lain yang tidak membenarkan mereka melakukan ibadah haji, sekali gus melanggar peraturan ketat yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi menjelang musim haji.

Mohd. Na’im berkata, sekiranya ditahan kerana melanggar peraturan berkenaan, mereka boleh dikenakan denda antara 10,000 hingga 50,000 Riyal Saudi (anggaran RM22,000 hingga RM113,000), selain diusir serta disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi selama 10 tahun.

“Jangan kerana kedegilan atau tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak, kita menjejaskan peluang jemaah lain. Dahulu, 14 buah negara dikenakan larangan visa kerana pelanggaran peraturan. Kita tidak mahu perkara sama berlaku kepada Malaysia,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi sebelum ini menetapkan, semua individu yang berada di Mekah tanpa visa haji sah diwajibkan keluar dari kota suci itu bermula 1 Zulkaedah (29 April) sebagai langkah keselamatan dan kawalan sepanjang musim haji. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN