TEMERLOH: Setiap kali musim haji, pasangan warga emas di Kampung Bolok di sini, pasti terkenang episod hitam mereka ditipu sebuah syarikat pengurusan haji swasta pada 2022 sekali gus kerugian wang simpanan RM51,000.
Kini, setelah dua tahun berlalu, pasangan terbabit, Saudi Sidek, 64, dan isterinya, Sabidah Zainal, 62, masih menaruh harapan agar wang mereka dikembalikan, bagi membolehkan mereka menjejakkan kaki ke tanah suci.
Berkongsi cerita, Saudi berkata, mereka membuat pembayaran penuh kepada seorang individu dalam satu pertemuan di Kuantan pada 30 November 2021.
“Dia memperkenal diri sebagai wakil daripada sebuah syarikat pengurusan haji dan umrah yang beroperasi di Klang, Selangor. Kami sudah kenal dia lama, sebelum Covid-19 lagi. Semasa itu dia tawarkan pakej haji 2022 yang kononnya urus semua, visa, penerbangan, penginapan, dan mutawif,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurut Saudi, tawaran tersebut nampak meyakinkan memandangkan syarikat terbabit mendakwa mempunyai hubungan terus dengan pihak di Arab Saudi dan mampu mendapatkan kuota khas di luar sistem Lembaga Tabung Haji.
Katanya, menerusi duit hasil simpanan dan pampasan persaraan, mereka membuat bayaran tunai kerana mahu urusan cepat dan percaya pada janji lelaki berkenaan.
Namun, segala-galanya berubah pada 25 Jun 2022, hanya empat hari sebelum dijadual berangkat, apabila wakil terbabit datang ke rumah mereka untuk mengambil pasport dan keputusan pemeriksaan kesihatan.
Katanya, wakil itu kemudian memaklumkan saya tidak layak atas faktor kesihatan dan Arab Saudi mengetatkan syarat.
“Dia berjanji mahu memulangkan wang namun sehingga kini semuanya tinggal janji,” katanya.-UTUSAN.










