Syarikat penerbangan China terima semula pesawat Boeing

Syarikat penerbangan China terima semula pesawat Boeing

PESAWAT Boeing 737 MAX dipasang di Kilang Boeing Renton di Renton, Washington.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China menarik balik larangan ke atas syarikat penerbangan domestik daripada menerima pesawat baharu keluaran Boeing, lapor Bloomberg News.

Langkah itu dibuat selepas Beijing dan Washington bersetuju untuk mengurangkan tarif secara sementara dalam usaha meredakan ketegangan perang perdagangan antara kedua-dua negara.

Bulan lalu, Boeing mengesahkan syarikat penerbangan China menghentikan penerimaan pesawat baharu, susulan tarif balas besar-besaran yang dikenakan oleh kedua-dua pihak.

Namun, menurut Bloomberg yang memetik sumber terdekat, pihak berkuasa China kini memaklumkan kepada syarikat penerbangan domestik bahawa mereka boleh menyambung semula tempahan pesawat buatan Amerika Syarikat (AS).

Setakat ini, Boeing belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung laporan tersebut.

Berita itu datang selepas kedua-dua negara mengumumkan akan mengurangkan tarif secara drastik selama 90 hari serta meneruskan rundingan.

AS sebelum ini mengenakan tarif baharu ke atas banyak barangan import dari China sehingga mencecah 145 peratus, manakala Beijing membalas dengan tarif sebanyak 125 peratus ke atas barangan dari AS.

Pengumuman pada Isnin, hasil rundingan di Geneva, menyaksikan AS menurunkan tarif kepada 30 peratus, manakala China mengurangkan kepada 10 peratus.

Presiden AS, Donald Trump menyifatkan hasil rundingan itu sebagai ‘penetapan semula sepenuhnya’ dan berkata rundingan lanjut bersama Presiden Xi Jinping, mungkin akan berlangsung dalam masa terdekat.

Bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Kelly Ortberg berkata, pihaknya merancang untuk menghantar sekitar 50 pesawat ke China pada 2025.– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN