KUALA NERUS: Penduduk di Pulau Redang dekat sini, menghadapi kesukaran mendapatkan minyak petrol dan diesel ekoran bekalan bahan api tersebut terputus sejak dua minggu lalu.
Masalah tersebut berlaku selepas syarikat pembekal bahan bakar di pulau itu dikatakan tidak menambah bekalan berikutan perkhidmatannya ditamatkan mulai hari ini.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Bot Pelancong Pulau Redang, Mohd. Yusri Azizol Yusoff, 38, berkata, kira-kira 200 buah bot pelancong yang beroperasi di pulau terjejas operasi apabila mereka menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan bahan api itu.
Pada masa sama, katanya, nelayan dan penduduk di pulau itu yang menggunakan petrol serta diesel turut terkesan dengan masalah tersebut.
“Pada masa ini, pengusaha bot terpaksa mengeluarkan kos kira-kira RM100 untuk perjalanan pergi dan balik bagi membeli minyak di tanah besar dekat pekan Merang.
“Minyak petrol dan diesel yang dibeli itu diisi dalam tong dan perlu mendapatkan surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup” katanya ketika ditemui di Pulau Redang, semalam.
Mohd. Yusri berkata, keperluan petrol keseluruhan di pulau ini dianggarkan kira-kira 40,000 liter sebulan dan diesel pula 35,000 liter.
Pihaknya mengharapkan syarikat pembekal minyak baharu dapat membekalkan minyak yang secukupnya bermula hari ini.
Katanya, penduduk bimbang sekiranya masalah tersebut berlarutan memandangkan syarikat baharu yang dilantik itu masih tidak mempunyai kemudahan premis dan pam minyak untuk perniagaan tersebut.-UTUSAN.