Siti Nur Hasmuni martabatkan tulisan jawi di sekolah

Siti Nur Hasmuni martabatkan tulisan jawi di sekolah

SITI Nur Hasmuni Hassan (kanan) aktif sebagai tenaga pengajar tulisan Jawi menerusi program Semarak Jawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: “Dulu saya pun kurang minat dengan jawi. Tapi, apabila tengok murid langsung tidak kenal huruf (jawi), hati saya jadi tersentuh.”

Itu titik permulaan kepada usaha luar biasa seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alma di Bukit Mertajam, Siti Nur Hasmuni Hassan, 44, yang kini menjadi tonggak penting dalam memartabatkan kembali tulisan Jawi dalam ka­langan pelajar.

Berpegang pada prinsip bahawa tiada pelajar yang gagal jika diberi peluang dan pendekatan yang betul, Siti Nur Hasmuni bangkit daripada kekangan minat dan kefahaman untuk mendalami semula ilmu jawi, bukan demi dirinya sahaja, tetapi demi generasi muda yang semakin jauh daripada tulisan warisan ini.

Dengan semangat dan daya juang yang tinggi, beliau bukan sekadar mengajar, malah, membina semula kecintaan terhadap tulisan jawi melalui pendekatan kreatif dan menyeronokkan yang kini menjadi ikutan ramai.

Siti Nur Hasmuni berkata, kisahnya dengan tulisan jawi bermula sekitar tahun 2015 apabila dia menyedari majoriti pelajar­nya gagal membaca dan menulis jawi walaupun sepatutnya perkara itu sudah didedahkan sejak sekolah rendah.

“Saya sendiri dulu tidak faham dan tidak berapa minat Jawi. Tapi bila tengok pelajar sangat lemah, saya rasa saya kena ubah diri dulu.

“Saya cari guru, belajar sampai faham ilmu tulisan Jawi dan saya bawa balik ilmu Jawi untuk diajar kepada para pelajar saya,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Siti Nur Hasmuni yang kini merupakan Munsyi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi tulisan jawi berkata, berbekalkan teknik fun learning dan alat bantu seperti kad berwarna dan teknik nyanyian yang dipelajari daripa­da guru-guru lain yang mahir de­ngan tulisan Jawi, dia mula memperkenalkan tulisan Jawi ke­pada pelajarnya di SMK Alma. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN