Saya harap penantian berakhir – Ibu pramugari MH17

Saya harap penantian berakhir – Ibu pramugari MH17

HABIBAH Ismail membelek keratan akhbar peristiwa MH17 ketika ditemui di rumahnya, Tok Keling di Alor Setar, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: “Saya cuma berharap penantian ini berakhir. Saya sudah tua dan sebelum pejam mata seperti arwah suami, saya nak tengok kematian arwah dan semua mangsa lain terbela. Pihak yang menembak itu mendapat hukuman setimpal.”

Demikian luah Habibah Ismail, 76, ibu kepada Azrina Yakob, pramugari pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014.

Kata Habibah, keluarganya berterima-kasih kepada kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus memperjuangkan pembelaan ke atas mangsa walaupun selepas 11 tahun.

“Julai depan masuk 11 tahun dan saya nak ucap terima kasih kepada kerajaan dan Perdana Menteri. Saya tahu langkah mungkin masih panjang dengan sikap dolak dalih Russia itu tetapi saya percaya, Malaysia akan terus berusaha. Saya tidak memikirkan tentang pampasan asal sahaja kematian mangsa terbalas nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di Tok Keling, di sini semalam.

Akhbar ini kelmarin menyiarkan Majlis Pertubuhan Pe­nerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab terhadap insiden tembakan ke atas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 196 warganegara Belanda serta 38 warga dan penduduk Australia pada 2014.

Bagaimanapun, Russia menolak keputusan agensi pe­nerbangan awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dan menegaskan bahawa siasatan yang diketuai Belanda ke atas insiden itu adalah bermotifkan politik dan bergantung kepada bukti-bukti dari Ukraine yang boleh dipersoalkan.

Kata Habibah, walaupun sudah 11 tahun namun tragedi yang menimpa anaknya itu masih segar dalam ingatan.

“Saya masih ingat malam itu kira-kira 12.30 tengah malam, saya dan arwah suami baru nak masuk tidur tiba-tiba anak telefon beritahu pesawat terhempas dan arwah Azrina ada dalam kapal itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×