Satelit pertama bantu sukat karbon dalam hutan

Satelit pertama bantu sukat karbon dalam hutan

SATELIT seberat 1.2 tan itu dilengkapi antena gergasi berdiameter 12 meter yang dinamakan sebagai 'space brolly'.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Agensi Angkasa Eropah (ESA) melancarkan satelit pertama yang menggunakan sistem radar khas untuk menyukat jumlah karbon di dalam hutan hujan tropika.

Pelancaran satelit Biomass merupakan sebahagian usaha ESA untuk memerangi perubahan iklim dunia secara lebih berkesan.

Roket itu dilancarkan dari Stesen Angkasa Kourou, Guiana, Perancis kelmarin, dan terbang merentasi hutan Amazon, salah satu kawasan hutan hujan yang akan dikaji oleh satelit tersebut.

Satelit seberat 1.2 tan itu dilengkapi antena gergasi berdiameter 12 meter yang dinamakan sebagai ‘space brolly’.

Antena satelit itu menggunakan radar jalur-P yang mempunyai gelombang panjang, membolehkannya ‘menembusi’ ke dalam hutan dan mendedahkan struktur seperti dahan serta batang pokok yang sebelum ini tersembunyi.

Menurut Pengarah Pusat Pemerhatian Bumi Kebangsaan, Prof. John Remedios, misi itu bakal membuka lembaran baharu dalam memahami kepentingan hutan tropika di Amazon, Congo dan Indonesia dalam menyimpan karbon dioksida.

“Kami kini benar-benar mahu menyelidik hutan ini. Untuk pertama kalinya, kita berpeluang mengetahui secara tepat berapa banyak karbon yang sebenarnya tersimpan,” katanya selepas pelancaran satelit itu.

Satelit itu berfungsi hampir sama seperti imbasan CT, menganalisis lapisan demi lapisan hutan pada setiap laluan orbit, bagi membina gambaran menyeluruh mengenai jumlah kayu yang terdapat di kawasan tersebut.

Satelit Biomass dijangka menghasilkan peta pertamanya dalam tempoh enam bulan dan akan terus mengumpul data selama lima tahun.

Ia bukan sahaja akan mendedahkan berapa banyak karbon yang tersimpan, bahkan juga jumlah kehilangan akibat aktiviti pembalakan dan penebangan hutan.

Misi itu merupakan hasil kerjasama selama lebih dua dekad antara saintis dari Eropah dan Amerika Syarikat (AS), dan ilham asalnya dikemukakan oleh Profesor Shaun Quegan dari Universiti Sheffield.– BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN