Saman serangan seksual: Isu kekebalan Anwar dihujah 3 Jun

Saman serangan seksual: Isu kekebalan Anwar dihujah 3 Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri kebal daripada sebarang tuntutan saman akan dihujahkan pada 3 Jun ini.

Ia selepas Anwar memfailkan permohonan bagi merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan termasuk isu kekebalan tersebut berkaitan kes saman oleh bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther atas dakwaan serangan seksual tujuh tahun lalu.

Permohonan itu difailkan kira-kira dua minggu sebelum saman itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini. Saman itu juga difailkan Muhammed Yusoff pada 14 Julai 2021, kira-kira setahun sebelum Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada November 2022.

Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain menetapkan tarikh tersebut pada prosiding pengurusan kes itu yang dijalankan secara dalam talian semalam.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali memaklumkan perkara itu ketika dihubungi media selepas tamat prosiding ber­kenaan.

Menerusi permohonan yang difailkan oleh Anwar melalui firma peguam yang baharu dilantik, Tetuan Zain Megat & Murad, Ahli Parlimen Tambun itu antara lain memohon agar Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.

Anwar turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya men­jalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pe­ngasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.

Ahli Parlimen Tambun itu juga mahu mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar hak beliau untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang, seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Perseku­tuan, terutamanya kerana beliau men­dakwa saman tersebut me­rupakan penyalahgunaan pro­ses mahkamah.

Menurut saman yang difailkan oleh Muhammed Yusoff, serangan seksual terhadapnya berlaku pada pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut, di sini.

Bekas pembantu penyeli­dik Anwar itu selaku plaintif men­dakwa Ahli Parlimen Tambun itu melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya manakala beliau menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan itu.

Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan, selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin politik, yang menyokong Anwar serta orang awam.

Oleh itu, Muhammed Yusoff menuntut ganti rugi khas, umum, teruk, teladan, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sekitar September 2021, Anwar memfailkan tuntutan balas terhadap Muhammed Yusoff dengan menyatakan dakwaan salah laku seksual itu ‘palsu dan direka’.

Dalam pernyataan pembela­an dan tuntutan balas itu, Anwar mendakwa bahawa serangan seksual yang didakwa tidak mungkin berlaku.

Ini kerana pada tarikh yang dikatakan serangan itu berlaku, bekas Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan sedang melayani keluarga dan rakan di kediamannya di Bukit Segambut, di sini.

Sehubungan itu, Anwar me­nuntut daripada Muhammed Yusoff ganti rugi umum, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN