PETALING JAYA: Kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan kira-kira RM89 juta setahun bagi menampung keperluan makanan seramai 16,412 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditempatkan di depot Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di seluruh negara.
Jumlah itu hanya anggaran bagi kos perbelanjaan makan dan minum bagi setiap tahanan PATI iaitu RM15 sehari namun ia tidak merangkumi bil elektrik dan perubatan yang juga perlu ditanggung.
Bagaimanapun, kos ini bergantung kepada jumlah kapasiti semasa PATI yang masuk dan keluar depot mengikut keadaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, setakat 30 April lalu, seramai 16,412 jumlah PATI ditempatkan di 18 depot, dua depot sementara serta enam Baitul Mahabbah di seluruh negara.
Katanya, tahanan paling ramai membabitkan warga Myanmar, Indonesia, Filipina, Bangladesh dan Thailand.
“Kerajaan kini membelanjakan kira-kira RM15 sehari bagi kos penyediaan makan dan minum setiap tahanan di depot. Kadar yang sama juga dibelanjakan kepada tahanan di depot sementara dan Baitul Mahabbah.
“Jika dihitung bagi tempoh setahun, lebih RM89 juta yang kita perlu tanggung bagi menampung makan minum mereka (PATI) dalam depot.
“Ini tidak termasuk kos-kos perbelanjaan lain termasuk rawatan di hospital dan ubat-ubatan dan elektrik dan sebagainya, katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Putrajaya baru-baru ini.
Bagaimanapun, menurutnya, kos perbelanjaan itu bergantung kepada jumlah kapasiti PATI yang ditempatkan di depot pada sesuatu masa.
Ditanya berhubung isu kesesakan depot, ujarnya, setakat ini kapasiti depot mampu menempatkan sehingga 21,530 orang membabitkan depot Imigresen (19,750), Baitul Mahabbah (380) dan depot sementara iaitu 1,400 orang.
“Jumlah tahanan depot kini seramai 16,412 dan jumlah itu akan berubah setiap masa mengikut PATI yang masuk dan diusir, jadi tiada isu depot sesak dan padat.
“Kita sentiasa melaksanakan pemindahan tahanan imigresen untuk pulang ke negara asal dengan purata pemindahan sebulan adalah 4,000 ke 4,400 orang setiap bulan,” katanya.
Menurutnya, beliau juga telah menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) dan prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap depot dengan memastikan setiap tahanan tidak melebihi tiga bulan ditempatkan di sana dan perlu diusir ke negara asal.
“Walaupun kita terpaksa tanggung kos pengusiran namun ia dapat menjimatkan kos perbelanjaan PATI. Bagaimanapun, ada yang ditahan lebih lama kerana terdapat kekangan dalam masalah dokumentasi dan sebagainya,” katanya.-UTUSAN.










