KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor bersedia untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kebimbangan mangsa insiden letupan paip gas Putra Heights, Subang Jaya berhubung masalah tuntutan insurans yang dihadapi mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun ia masih perlu merujuk kepada polisi insurans yang dimiliki mereka berdasarkan persetujuan dan perjanjian di antara mangsa dan syarikat insurans.
“Kerajaan negeri mungkin juga boleh membantu untuk menjadi mediator sebab itu (melibatkan) persetujuan dan perjanjian antara kedua-dua pihak. Jadi, ia sudah tertera, sekarang haknya adalah dalam polisi insurans.
Tetapi, kerajaan negeri sedia membantu tetapi kita akan selesaikan masalah asas dahulu,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Persatuan Penduduk Taman Topaz, Putra Heights mempertikai kewujudan klausa berat sebelah dalam polisi yang didakwa lebih memihak kepada syarikat insurans sehingga mangsa terpaksa menanggung beban kewangan.
Malah penduduk mendakwa, penilai kerugian yang datang ke rumah hanya membuat pemerhatian sambil lewa tanpa melakukan penilaian teknikal dengan teliti menyebabkan jumlah tuntutan diperolehi rendah.
Sementara itu, Amirudin menambah, beliau akan bertemu dengan unit bencana bagi melihat bantuan berfasa dan menyelesaikan bantuan rumah sewa bagi mangsa yang belum memperolehnya.
“Ada lagi beberapa pihak yang belum dapat bantuan sewa sebab dokumen tak lengkap. Itu kita lengkapkan dulu dan saya akan tengok beberapa isu berbangkit termasuk tuntutan insuran (oleh penduduk).
“Ada sebahagian tak yang tak selesai, kita hendak tengok masalah yang timbul. Saya harap kita boleh selesaikan sebaik mungkin,” ujarnya. – UTUSAN