KANGAR: Perlis berpotensi menjadi destinasi pelancongan sukan yang menjadi tumpuan di negara ini berikutan lokasinya yang kaya dengan keindahan alam semula jadi termasuk di sekitar Banjaran Nakawan di sini.
Ia sekali gus membantu menarik kehadiran pengunjung bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 selain memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Rahimi Ismail berkata, Perlis juga menjadi tarikan pemain industri pelancongan sukan bagi menganjurkan pelbagai program dan aktiviti berskala besar.
Katanya, Perlis mempunyai kelebihan dari aspek keindahan alam semula jadi yang mampu menjadi daya penarik penganjuran sesuatu program untuk sektor pelancongan sukan.
“Kita mengharapkan perkembangan positif ini terus konsisten kerana kerajaan negeri melihat pelancongan sukan ini mempunyai potensi cukup besar di Perlis,” katanya ketika ditemui selepas Nakawan Rainforest Run anjuran Jabatan Perhutanan negeri bersempena Hari Hutan Antarabangsa 2025 di Kompleks Eko Pelancongan Sungai Batu Pahat, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Mohd. Ridzuan Hashim: Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar negeri, Wan Badariah Wan Saad dan Pengarah Perhutanan negeri, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni.
Rahimi berkata, acara Rainforest Run yang merupakan sebahagian daripada aktiviti Nakawan Rainforest Festival 2025 itu merupakan antara usaha dilaksanakan pihak penganjur dalam menyemarakkan sektor pelancongan sukan di negeri ini.
Katanya, program larian itu telah mendapat penglibatan menggalakkan dengan lebih 700 penyertaan dari dalam dan luar negara seperti Singapura, Poland dan Thailand.
“Pelbagai lagi program lain berkonsepkan pelancongan sukan ini telah berjalan dan ada juga yang sedang dalam perancangan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Perlis.
“Pelancongan sukan juga dapat menjadi medium dalam mempromosikan produk-produk komuniti di negeri ini untuk diketengahkan kepada pengunjung luar. Usaha ini sekali gus dapat membantu dalam meningkatkan ekonomi komuniti setempat melalui penghasilan produk-produk tempatan antaranya seperti herba dan pelbagai lagi,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri juga akan terus membantu bersama agensi berkaitan termasuk dari Kerajaan pusat untuk pasarkan produk hiliran ini secara meluas dan memberi impak kepada komuniti setempat.-UTUSAN










