ARAU: Dalam usaha memastikan pembelajaran Matematik peringkat awal lebih menyeronokkan serta meningkatkan penguasaan asas subjek tersebut, sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berjaya menghasilkan projek inovatif pendidikan bertajuk Kayu Kira-Kira.
Projek Kayu Kira-Kira: A Fun Way To Learn Mathematic itu adalah hasil idea Nornadia Mohd. Yazid; Dr. Siti Rohana Goh Abdullah dari Institut Matematik Kejuruteraan; Dr. Noor Alia Md Zain dari Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik dan Prof. Madya Dr. Nor’izah Ahmad serta Luqhman Hakim Dahlan Tabah dari Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Unimap.
Lebih membanggakan, projek yang mengetengahkan pendekatan baharu dalam pengajaran dan pembelajaran awal Matematik yang lebih menyeronokkan dan mudah difahami oleh murid sekolah rendah itu juga berjaya meraih pingat emas dalam pertandingan Ekspo Reka Cipta Unimap 2025 (EREKA) pada 28 April lalu.
Nornadia berkata, Kayu Kira-Kira itu merupakan permainan pendidikan berasaskan blok kayu berwarna yang diinspirasikan daripada permainan susun kayu klasik.
Katanya, setiap blok tersebut mewakili tahap soalan Matematik seperti tambah dan tolak yang perlu dijawab sebelum ia boleh disusun semula blok yang diambil ke atas menara.
Ujar beliau, inovasi tersebut menggabungkan elemen pembelajaran berasaskan permainan dan pembelajaran kinestetik yang mampu meningkatkan penguasaan asas Matematik secara interaktif dan menyeronokkan.
“Kayu Kira-Kira dibangunkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan itu bagi menangani cabaran utama dalam pendidikan awal kanak-kanak, terutama dalam subjek Matematik yang sering dianggap sukar dan membosankan. Melalui permainan ini, kanak-kanak tidak hanya belajar mengira malah turut membina keyakinan dan kemahiran menyelesaikan masalah serta semangat bekerjasama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan seramai 84,025 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 gagal dalam subjek Matematik, iaitu antara tujuh mata pelajaran teras dalam peperiksaan itu.
Berdasarkan Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024 lalu, jumlah itu merangkumi 22.4 peratus daripada 375,115 calon menduduki mata pelajaran berkenaan, sekali gus mencatatkan keputusan gagal tertinggi dalam keseluruhan mata pelajaran yang diambil oleh calon-calon SPM.
Tambah Nornadia, inisiatif tersebut turut menyokong kepada aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 iaitu pendidikan berkualiti dengan memperkukuhkan penguasaan awal Matematik dalam kalangan kanak-kanak melalui pendekatan pembelajaran yang lebih kreatif serta berinovasi.
“Produk ini turut menggunakan bahan mesra alam dan bebas skrin, sekali gus menyumbang kepada pembelajaran berteraskan keseimbangan digital. Kejayaan di EREKA 2025 baru-baru ini juga menjadi bukti bahawa inovasi tempatan mampu menawarkan penyelesaian efektif dalam sistem pendidikan negara.
“ Unimap menerusi projek ini juga dalam proses meneroka peluang pengkomersialan termasuk kerjasama strategik bersama institusi pendidikan, syarikat mainan pendidikan dan pengedar buku. Langkah ini sejajar dengan matlamat universiti untuk memperkasa inovasi pendidikan sebagai antara teras utama pembangunan modal insan negara,” katanya.-UTUSAN