Peniaga tular buat siaran langsung cabut bulu tongkeng ayam

Peniaga tular buat siaran langsung cabut bulu tongkeng ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LESHAN: Seorang pemilik kedai makanan di barat daya China tular selepas melakukan siaran langsung memaparkan dirinya mencabut bulu tongkeng ayam, sehingga menarik puluhan ribu tontonan.

Peniaga berusia awal 30-an dari wilayah Sichuan, Wang Yuxian, mengusahakan sebuah kedai makan kecil bersama rakannya, Yang Yanli, di bandar Leshan.

Perniagaan menjual hidangan tempatan seperti tongkeng ayam, daging arnab dan lidah itik sebelum ini mengalami kemerosotan sejak awal 2025.

Namun, segalanya berubah apabila Wang memuat naik satu video pada Mac lalu, yang memaparkan dirinya mencabut bulu pada bahagian tongkeng ayam.

Video tersebut meraih lebih lima juta tontonan dan mencetuskan idea untuk memulakan sesi siaran langsung secara tetap.

Dengan menggunakan peralatan audio khas, Wang memperkuat bunyi pencabut bulu menarik bulu putih, mencipta pengalaman ASMR (Autonomous Sensory Meridian Response) yang unik dan disukai ramai kerana dikatakan memberi rasa tenang dan mengurangkan stres.

Siaran langsung Wang menarik lebih 12,000 penonton dalam satu masa dengan majoriti menghabiskan purata 38 minit menonton, terutama pada lewat malam.

“Saya tertidur tanpa sedar. Insomnia saya pun semakin pulih,” kata salah seorang penonton.

“Saya pada mulanya cuma mahu menonton sahaja. Tetapi selepas melihat siaran langsung itu, saya terus membeli tongkeng ayam itu. Rasanya jauh lebih sedap daripada jangkaan,” ujar penonton lain.

Hidangan seberat 250 gram dijual pada harga 26 yuan (RM17) dan ditawarkan dalam enam pilihan rasa termasuk pedas, bawang putih dan lada Sichuan.

Sejak memulakan siaran langsung, Wang berkata, jualan bulanan kedainya melonjak melebihi 200,000 yuan (RM130,000).

“Saya tidak sangka tongkeng ayam boleh jadi penenang stres. Bagaimana memasaknya hingga begitu sedap?” tanya seorang penonton dalam sesi siaran langsung tersebut.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN