Pengangguran negara terendah dalam 10 tahun

Pengangguran negara terendah dalam 10 tahun

ANWAR Ibrahim menyampaikan Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Orang Kurang Upaya) kepada Dr. Ahmad Shamsuri Muhamad (empat dari kanan) ketika Sambutan Hari Pekerja 2025 peringkat Kebangsaaan di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran negara mencatatkan penurunan kepada 3.1 peratus, terendah dalam tempoh sejak 10 tahun lalu.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, penurunan itu disumbangkan oleh peningkatan jumlah pekerjaan dan penyertaan tenaga buruh di pasaran.

Katanya, jumlah pekerjaan me­ningkat daripada 16.1 juta pa­da 2013 kepada 17.34 juta tahun ini.

“Ini menunjukkan pemulihan ekonomi yang berterusan serta kejayaan pelbagai inisiatif kerajaan dalam merangsang pa­saran kerja,” katanya dalam majlis Sambutan Hari Pekerja 2025 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, semalam.

Steven Sim berkata, kadar penyertaan tenaga buruh mencatatkan prestasi positif dengan penglibatan 70.6 peratus rakyat dalam pasaran pekerjaan.

Katanya, kadar penyertaan wanita dalam sektor buruh juga meningkat kepada 56 peratus.

“Dalam masa sama, kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran menurun daripada 37.4 peratus pada 2023 kepada 36 peratus,” katanya.

Sementara itu, Steven Sim turut menyampaikan Anugerah Hari Pekerja 2025 kepada 13 individu dan organisasi melibatkan pelbagai kategori termasuk pekerja, majikan, kesatuan dan media, yang membawa pulang cek RM10,000 beserta sijil penghargaan.

Anugerah Tokoh Pekerja Ne­gara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pengurusan Ter­tinggi) 2025 diberi kepada Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas.

Pengarah Jabatan Kebuda­ya­an dan Kesenian Negara Melaka, Ezlina Alias pula menerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pengurusan dan Profesio­nal).

Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pelaksana) pula dianugerahkan kepada bekas artis budaya Istana Negara, Ramli Lani yang mewakili negara di pelbagai festival antarabangsa serta terlibat dalam lebih 150 produksi teater termasuk Sirah Junjungan dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Selain itu, Profesor virologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Chee Hui Yee menerima Anugerah Tokoh Pe­kerja Negara (Eksekutif).

Beliau yang pakar dalam bidang diagnostik molekul dan pembangunan antivirus serta memiliki dua paten hasil inovasi penyelidikannya dan dicalonkan untuk Anugerah Akademik Negara.

Anugerah Tokoh Pekerja Ne­gara (Bukan Eksekutif) pula dirangkul oleh G. Tanaletchumy dari Central Force International Sdn. Bhd. yang memperkenalkan sistem petunjuk prestasi utama (KPI) yang sistematik dan membangunkan program mentorship sejak 2022.

Pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr. Ahmad Shamsuri Muhammad menerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Orang Kurang Upaya). Beliau juga me­rupakan penerima Asia University Alliance Scholar Award 2023–2024 serta aktif dalam NGO berkaitan OKU.

Bagi Anugerah Majikan Terbaik Negara (syarikat besar/GLC), anugerah tersebut dimenangi Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd.

Kategori perusahaan kecil dan sederhana pula dimenangi Schattdecor Sdn. Bhd., syarikat pengeluar filem melamin untuk perabot dan lantai.

Anugerah Kesatuan Sekerja Terbaik Negara (Sektor Awam) dimenangi Kesatuan Guru-Gu­ru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) sementara kategori sektor swasta pula dimenangi Kesatuan Pekerja-Pekerja Gen­ting Malaysia Berhad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×