Goodyear tutup kilang di Shah Alam, 550 pekerja bakal terjejas - Utusan Malaysia

Goodyear tutup kilang di Shah Alam, 550 pekerja bakal terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat tayar terkemuka, Goodyear dilaporkan bakal menutup operasi kilang di Shah Alam berkuat kuasa 30 Jun depan, sekali gus memberi kesan kepada 550 pekerjanya di negara ini.

Menurut Presiden GoodYear Asia Pasifik, Nathaniel Madarang, tindakan itu adalah salah satu langkah dalam program transformasi Goodyear Forward yang direka untuk mengoptimumkan operasi syarikat.

“Program ini termasuk tindakan khusus untuk mengurangkan kos tahunan sebanyak AS$1 bilion (RM4.73 bilion) menjelang 2025, bagi memastikan kami kekal berdaya saing dan berada di kedudukan sebagai peneraju industri.

“Justeru, sebagai sebahagian daripada usaha ini, Goodyear telah membuat keputusan yang sukar tetapi perlu untuk menutup kilang pembuatan kami di Shah Alam, Malaysia, berkuat kuasa 30 Jun 2024, dengan penutupan dijangka selesai menjelang akhir tahun,” katanya dalam kenyataan.

Mengetahui keputusan itu akan menjejaskan kira-kira 550 pekerjanya di negara ini, Nathaniel menjelaskan pihaknya komited mengambil kira kebajikan pekerjanya dalam proses tersebut.

“Keputusan ini tidak dibuat dengan mudah, tetapi kami perlu mengambil keputusan tersebut untuk memajukan kepentingan jangka panjang perniagaan dan pelanggan kami,” ujarnya.

Bagaimanapun, Goodyear Malaysia akan kekal di dalam pasaran tempatan dengan tayar-tayar yang akan dibawa masuk dari kilang-kilang mereka yang lain di Thailand, Indonesia, China dan Taiwan.

Kilang Goodyear di Shah Alam telah dibuka sejak tahun 1972.

GoodYear hadir ke Tanah Melayu seawal tahun 1929 dan menjadi pembekal tayar untuk kereta pertama negara, Proton Saga dalam tahun 1985. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN