Nahas trak FRU: PM minta lakukan siasatan menyeluruh

Nahas trak FRU: PM minta lakukan siasatan menyeluruh

PIHAK berkuasa memeriksa trak Unit Simpanan Persekutuan yang remuk selepas dirempuh sebuah lori batu dalam kejadian di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak berkuasa diminta menjalankan siasatan menyeluruh nahas membabitkan lori muatan batu dan trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meminta pihak berkuasa menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga terlibat.

“Salam takziah diucapkan kepada keluarga anggota-anggota Unit Simpanan Persekutuan yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan, pagi tadi (semalam).

“Saya turut mendoakan agar kesemua yang cedera dalam insiden ini diberikan kesembuhan sesegera mungkin selain dipermudahkan segala urusan.

“Pihak berkuasa diseru untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh serta menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di akaun X semalam.

Nahas kira-kira pukul 8.54 pagi itu dikatakan berpunca daripada kegagalan fungsi ste­reng lori membawa muatan batu itu yang merempuh hadapan lori FRU Polis Diraja Malaysia (PDRM), mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan anggota.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, trak FRU dari Unit 5 yang membawa 18 anggota itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.

“Ketika tiba di tempat kejadian, trak FRU Unit 5 itu dirempuh dari hadapan oleh lori membawa muatan batu yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain sudah mengarahkan siasatan terperinci dila­kukan polis Kontinjen Perak berhubung nahas itu.

Kata beliau, siasatan perlu dilakukan secara adil, telus berlandaskan undang-undang.

“Susulan kemalangan yang berlaku, saya sudah hubungi Ketua Polis Perak bagi siasatan terperinci dilakukan mereka.

“Kami jamin kebajikan semua anggota yang terkesan dengan insiden ini diberi bantuan sebaiknya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN