MAIPk bantu urusan beli tanah masjid

MAIPk bantu urusan beli tanah masjid

URUSAN pembelian sebahagian tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu di Bagan Serai sudah dirujuk kepada MAIPk. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Urusan pembelian semula sebidang tanah wakaf yang melibatkan Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu di sini sudah dirujuk secara rasmi kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada Jumaat lalu bagi tindakan lanjut.

Pengerusi Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Yusuf Majid berkata, perkara berkenaan telah dibincangkan di peringkat pengurusan masjid bersama Pejabat Agama Islam Daerah sebelum diputuskan untuk disalurkan terus kepada MAIPk.

“Urusan berkaitan pembelian semula tanah wakaf itu telah awal dibawa ke peringkat perbincangan namun kami dinasihati agar merujuk terus kepada pihak MAIPk.

“Saya yakin dengan keprihatinan dan komitmen MAIPk, isu ini akan diselesaikan dengan segera,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan dan tidak akan berdiam diri dalam memastikan kebajikan jemaah serta hak milik wakaf masjid dapat dikekalkan.

“Saya akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini kepada media dari semasa ke semasa demi memastikan maklumat yang disampaikan tepat dan tidak menimbulkan kekeliruan,” jelasnya.

Sebelum ini, beberapa bahagian bangunan tambahan yang bersambung dengan struktur utama masjid berkenaan berkemungkinan bakal dirobohkan berikutan kedudukannya berada di atas tanah wakaf yang didakwa telah terjual kepada seorang pemilik bukan Islam.

Pemilik tersebut kemudiannya menawarkan penjualan semula tanah berkenaan dengan harga RM1.8 juta. Sumbangan orang ramai bagi membeli semula tanah tersebut berjaya mengumpul sebanyak RM2.3 juta.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN