Lelaki warga emas ditemukan lemas, mayat tersangkut timbunan sampah

Lelaki warga emas ditemukan lemas, mayat tersangkut timbunan sampah

MAYAT seorang lelaki warga emas ditemukan dalam keadaan terlingkup dan tersangkut pada timbunan sampah dan kayu balak di Sungai Pahang di Kampung Paya Pasir di Maran, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Seorang lelaki warga emas ditemukan lemas dalam keadaan terlingkup dan tersangkut pada timbunan sampah dan kayu balak di Sungai Pahang dekat Kampung Paya Pasir di sini.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang penduduk kampung pada pukul 1.29 petang semalam memaklumkan penemuan mayat dalam sungai berkenaan.

Menurutnya, pengadu turut menghantar gambar dan rakaman video penemuan mayat itu daripada jarak jauh sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Pekan Awah bagi tindakan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati lokasi kejadian merupakan kawasan pam pasir dalam Sungai Pahang berhampiran Kampung Paya Pasir.”

Pemeriksaan awal menemukan mayat lelaki dalam keadaan terlingkup, berpakaian baju-T warna hijau dan berseluar panjang jeans warna gelap. Mayat berkenaan tersangkut pada timbunan sampah dan kayu balak di permukaan air,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kim Wai berkata, siasatan lanjut menemukan dompet dalam poket belakang seluar mangsa dan mengandungi kad pengenalan dipercayai milik si mati.

“Identiti mangsa dikenal pasti sebagai lelaki Melayu berusia 58 tahun. Pemeriksaan luaran tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kematian dipercayai akibat lemas,” ujarnya.

Tambahnya, Penolong Pegawai Perubatan dari klinik berhampiran yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan kematian pada pukul 2.15 petang.

“Mayat kemudian dihantar ke Hospital Jengka untuk tujuan bedah siasat. Hasil laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah ‘drowning’ atau mati lemas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN