PETALING JAYA: Muzik ghazal yang menjadi warisan budaya Melayu terus disemarakkan oleh keluarga Johari Arshad, 81, atau lebih dikenali sebagai Pak Salleh.
Ia menerusi tiga orang anaknya yang aktif sebagai pemain muzik ghazal iaitu Samsul Bahari Johari, 41, Mohd. Izwan Johari, 36, dan Muhammad Hisyamuddin Johari, 34.
Pak Salleh yang juga merupakan Pengurus Produksi Persatuan Ghazal Negeri Johor berkata, beliau bukan sahaja mewariskan kemahiran tetapi semangat dan minat yang mendalam terhadap muzik ghazal kepada anak-anaknya.
“Ghazal bukan sahaja membawa ketenangan malah ia adalah satu bentuk seni yang mampu menyentuh jiwa pendengar dengan cara tersendiri.
“Generasi muda jangan memandang remeh seni tradisional ini. Ambillah peluang untuk mendalami dan menghayati muzik ghazal demi kesinambungan warisan budaya bangsa.
“Jika tiada pelapis, seni ini akan hilang. Saya berharap anak-anak muda akan terus mengekalkan dan memartabatkan muzik tradisional ini,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas Program Panggung Seni Tradisional: Irama Ghazal Johor di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Persembahan Irama Ghazal Johor, Samsul Bahari Johari berkata, pada persembahan itu, mereka menggabungkan elemen muzik tradisional seperti akordeon, tabla dan rebana bersama alat moden untuk menarik minat golongan muda yang semakin kurang berminat dengan muzik tradisional.-UTUSAN.