PASIR PUTEH: Hampir 10,000 pelanggan Air Kelantan Sdn. Berhad (AKSB) menarik nafas lega kerana Loji Rawatan Air (LRA) Wakaf Bunut di sini, disahkan bebas daripada pencemaran yang berpunca daripada racun di kolam peliharaan ikan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, urusan seharian penduduk berjalan lancar selepas gangguan bekalan air yang melanda kawasan itu lebih 10 hari lalu sudah pulih.
Seorang pengusaha kedai, Helmi Ahmad, 26, berkata, bekalan air pulih sepenuhnya pada 22 April lalu selepas disahkan selamat oleh pihak berkuasa.
Katanya, sepanjang tempoh gangguan, dia terpaksa memendekkan operasi perniagaan sekali gus menjejaskan pendapatannya.
“Sepanjang tempoh itu, saya terpaksa membeli air minuman dan air mineral untuk memasak serta menyediakan minuman kepada pembeli,” katanya ketika ditemui di kedainya di Jalan Pintasan, di sini semalam.
Sementara itu, peniaga ayam proses di Pasar Semerak, Zaki Mohammed, 50, berkata, sepanjang tempoh itu dia berdepan kesukaran untuk mencuci bahan mentah itu.
“Saya terpaksa meminta pembeli membawa pulang ayam untuk membersihkan sendiri bahan mentah itu. Untuk membersihkan gerai pula, saya gunakan air perigi yang diangkut dari rumah,” katanya.
Terdahulu, LRA Wakaf Bunut milik AKSB yang sebelum ini terpaksa ditutup akibat masalah pencemaran air Sungai Rasau yang berpunca daripada racun di kolam peliharaan ikan sudah kembali beroperasi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, hal ini kerana air sungai di kawasan itu sudah disahkan bebas daripada pencemaran.-UTUSAN.