KANGAR: Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bukan sahaja penting dari sudut perancangan masa depan negara-negara rantau, malah menjadi pentas bersejarah yang menyatukan tiga blok ekonomi utama dunia iaitu ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China dalam satu kerangka kolaboratif baharu.
Malah, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 memainkan peranan utama dalam penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN selain sidang kemuncak ASEAN-GCC kedua dan sidang kemuncak ASEAN-GCC-China.
Bukan sekadar menjadi tuan rumah, Malaysia turut bertindak sebagai pemacu dasar dan penyelaras agenda-agenda strategik yang bakal dilakar bersama rakan serantau.
Penganjuran tersebut juga selaras dengan keutamaan Malaysia yang menekankan integrasi ekonomi, pembangunan mampan dan keterangkuman digital.
Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Nor Azura A. Rahman berkata, dalam konteks Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua, Malaysia meneruskan komitmen yang dimeterai pada sidang pertama di Riyadh pada 2023 yang menyaksikan persetujuan untuk mengadakan sidang ini setiap dua tahun.
Katanya, kali ini, ia memberi penekanan kepada pelaksanaan rangka kerjasama ASEAN-GCC 2024/2028 yang meliputi bidang perdagangan bebas, pendidikan, budaya, pembangunan ekonomi dan digitalisasi.
Ujar beliau, sidang tersebut berfungsi sebagai platform strategik yang menghimpunkan pemimpin ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bagi membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
“Ia juga bertujuan memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang utama seperti perdagangan, pelaburan, pembangunan mampan dan keterhubungan antara rantau.
“GCC kini merupakan rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan mencecah USD130.7 bilion. Walaupun terdapat sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya, prospek jangka panjang kekal positif yang didorong oleh kestabilan perdagangan tenaga serta kerjasama sektoral yang semakin meluas.
“Dalam aspek pelaburan pula, GCC telah menyumbang sebanyak USD390.2 juta ke ASEAN menandakan peningkatan keyakinan pelabur dan potensi kerjasama ekonomi yang belum dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Nor Azura yang juga Felo Bersekutu di Institut Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD) berkata, Malaysia juga memperkenalkan satu lagi platform kerjasama menerusi Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama iaitu satu inisiatif trilateral baharu yang belum pernah dilaksanakan sebelum ini.
Katanya, matlamatnya jelas iaitu menyatukan kekuatan ekonomi tiga wilayah bagi memperkukuh perdagangan, pelaburan, pembangunan teknologi hijau dan keterhubungan digital secara kolektif.
Ujar beliau, sebagai inisiatif baharu yang dipelopori Malaysia dalam kapasitinya sebagai Pengerusi ASEAN, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China itu mengambil kira hakikat bahawa ASEAN kini merupakan kuasa ekonomi kelima terbesar di dunia dengan KDNK mencecah USD3.8 trilion (2023), manakala China kekal sebagai rakan dagang utama ASEAN dengan jumlah dagangan mencecah USD696.7 bilion.
“Dengan gabungan kekuatan ini, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China dijangka menjadi pemangkin utama kepada perkongsian ekonomi tiga hala yang mampan dan menyeluruh.
“Fokus utamanya adalah kepada pengukuhan integrasi ekonomi melalui sektor-sektor strategik seperti perdagangan, pelaburan, pembangunan infrastruktur, rantaian bekalan serta keterhubungan digital. Usaha ini bertujuan mewujudkan ekosistem kerjasama yang inklusif dan menguntungkan semua pihak.
“Dari perspektif ekonomi serantau, kolaborasi tiga hala ini membuka potensi yang sangat besar. Gabungan KDNK ASEAN, GCC dan China mencecah USD24.87 trilion setahun (pada harga semasa) manakala populasi gabungan ketiga-tiga rantau ini menjangkau 2.15 bilion orang. Ini menjadikan blok ini antara yang paling berpengaruh dari segi kapasiti pasaran dan potensi pelaburan langsung asing (FDI),” katanya.
Ujarnya, secara keseluruhan, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bukan sahaja akan menjadi medan penetapan dasar dan hala tuju komuniti ASEAN tetapi juga satu peluang besar bagi mengukuhkan hubungan strategik antara ASEAN, GCC dan China.
“Malaysia, selaku tuan rumah dan Pengerusi ASEAN memainkan peranan penting dalam membentuk landskap kerjasama serantau yang lebih dinamik, mampan dan berpaksikan masa depan bersama,” katanya.-UTUSAN