PETALING JAYA: Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain sudah mengarahkan siasatan terperinci dilakukan polis Kontinjen Perak berhubung tragedi anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan.
Kata beliau, siasatan perlu dilakukan secara adil, telus berlandaskan undang-undang.
“Susulan daripada kemalangan yang berlaku, saya sudah hubungi Ketua Polis Perak bagi siasatan terperinci dilakukan mereka.
“Kami jamin kebajikan semua anggota yang terkesan dengan insiden ini diberi bantuan sebaiknya,” katanya di sini.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan terperinci nahas yang mengorbankan anggota mereka.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi tadi nahas membabitkan sebuah lori membawa muatan batu dan sebuah trak FRU yang membawa 15 anggota termasuk pemandu.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata semua anggota FRU terbabit adalah dari Unit 5 Sungai Senam, Ipoh. – UTUSAN