Konflik India-Pakistan berisiko jejas bekalan makanan, harga barang

Konflik India-Pakistan berisiko jejas bekalan makanan, harga barang

BASHIR AHMAD SHABIR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara berisiko mengalami gangguan rantaian bekalan makanan serta kenaikan harga barangan keperluan susulan konflik yang tercetus antara India dan Pakistan ketika ini.

Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, ketegangan itu bukan sahaja menjejaskan hubungan perdagangan Malaysia dengan kedua-dua negara Asia Selatan tersebut, malah boleh merencatkan bekalan komoditi penting yang diperlukan oleh pengguna tempatan.

Katanya, India dan Pakistan merupakan rakan dagangan utama Malaysia di mana India mencatatkan nilai perdagangan hampir RM80 bilion pada 2024, berbanding sekitar RM5 bilion dengan Pakistan.

“India ialah pengeksport uta­ma minyak kelapa sawit dari Malaysia manakala kita banyak mengimport produk makanan seperti bawang dan kekacang serta sumber tenaga seperti petroleum dan gas asli dari negara itu.

“Sekiranya konflik ini berlanjutan, ia boleh menyebabkan kerencatan bekalan makanan dan barangan keperluan asas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bashir berkata, berikutan negara sangat bergantung kepada bahan mentah makanan dari India ia membuka risiko peningkatan harga sekiranya berlaku gangguan dalam eksport-import dua hala.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak mengingatkan bahawa ketegangan berterusan akan memberi kesan negatif terhadap kemasukan pelaburan langsung asing terutama dalam sektor teknologi dan tenaga boleh baharu.

Katanya, India merupakan pemain utama dalam pembangunan teknologi digital dan tenaga mampan di Asia dan ketidakstabilan politik akan mengganggu kerjasama dua hala serta aliran pelaburan dari syarikat berpangkalan di sana.

Beliau mencadangkan kerajaan memperluaskan sumber import dari negara alternatif seperti Thailand, Vietnam dan China, selain memperkukuh pengeluaran tempatan dan mewujudkan stok penampan strategik untuk komoditi kritikal seperti beras dan bawang bagi tempoh tiga hingga enam bulan.

Selain itu, kerjasama serantau dengan ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu diperkukuh bagi memastikan laluan perdagangan alternatif tidak terjejas.

Menurutnya, pelaksanaan kawalan harga dan subsidi sementara juga perlu dipertimbang jika berlaku kenaikan kos import serta memperkukuh rantaian bekalan logistik dengan meningkatkan kecekapan pelabuhan dan pengangkutan darat.

“Tindakan ini penting bagi meningkatkan ketahanan makanan negara dan melindungi rakyat daripada kesan inflasi import yang tidak stabil,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN