KOTA BHARU: Kesempitan hidup memaksa seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Siti Nurul Nabilla Abdul Majid, 18, dari Pos Blau di sini, memendam hasratnya menyambung pengajian di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Kampus Cawangan Royal College of Medicine Perak.
Dia memperoleh tawaran pengajian Diploma Pengimejan Perubatan minggu lalu selepas mendapat keputusan 3A dalam SPM 2024.
Gadis itu bagaimanapun terpaksa melupakan hasratnya kerana tidak mampu membayar wang pendaftaran masuk berjumlah RM810 bagi melaporkan diri selewat-lewatnya 20 Mei ini selain perlu memikirkan perbelanjaan lain untuk menyambung pengajian tersebut.
Siti Nurul Nabillah berkata, pendapatan bapaya yang tidak menentu sebagai penoreh getah menyukarkan keluarganya mengumpul wang sebanyak itu dalam tempoh yang singkat.
“Tanggungjawab ayah (Abdul Majid Hamzah) cukup berat apabila perlu menyara tujuh lagi adik-beradik lain yang masih kecil. Ibu pula tidak bekerja.
“Abang sulung (Muhammad Ismail Danieel) yang sebelum ini menuntut di Kolej Vokasional Arau, Perlis pula terpaksa berhenti pengajiannya selepas kakinya dipotong akibat kemalangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Siti Nurul Nabillah berkata, kesempitan hidup keluarganya menyebabkan dia tinggal di Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (YAATIM) di Taman Sabariah, Kota Bharu sejak berusia 11 tahun.
“Saya memang berharap dapat menyambung pengajian, saya mahu mengubah nasib keluarga. Saya percaya hanya ilmu yang mampu mengubah kehidupan kami.
“Jika dapat menyambung pengajian, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk lulus dengan cemerlang,” ujarnya.
Siti Nurul Nabilla berkata, hasratnya ketika ini untuk membalas jasa ibu bapa yang telah berusaha memberikan pelajaran terbaik buat dirinya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Siti Nurul Nabilla Abdul Majid iaitu 0302141000085509.-UTUSAN.