Kerajaan negeri, LZS henti tajaan ijazah pertama Timur Tengah

Kerajaan negeri, LZS henti biasiswa ijazah pertama Timur Tengah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menghentikan biasiswa pengajian tinggi ke universiti di Timur Tengah bagi pengajian peringkat ijazah pertama bermula tahun ini.

Sebaliknya, tajaan tersebut akan mengutamakan kemasukan ke Universiti Islam Selangor (UIS) dan institusi tempatan lain yang permohonannya bakal dikeluarkan melalui iklan pada Jun ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan tersebut dibuat bagi memperkukuhkan ekosistem pendidikan agama JAIS yang wujud di peringkat rendah dan menengah.

Menurutnya, UIS dipilih selaras dengan kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi (IPT) di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang terbukti mampu melahirkan graduan berkualiti tinggi dari segi ilmu dan akhlak serta dapat memenuhi pasaran pekerjaan.

“Ketetapan ini dibuat bagi mengurangkan risiko para pelajar daripada terdedah kepada pengaruh dan anasir yang mengganggu pemikiran serta jati diri pelajar jurusan pengajian Islam Selangor di Timur Tengah,” katanya, hari ini.

Tambahnya, bagaimanapun JAIS akan menaja mahasiswa persendirian yang tidak mendapat tempat di universiti tempatan atau memilih pengajian Islam di Timur tengah untuk melanjutkan pelajaran.

“Adalah dibenarkan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pertama di Mesir, Jordan dan Maghribi (Morocco) dengan diurus sepenuhnya oleh JAIS.

“Ini bagi memastikan para mahasiswa benar-benar bersedia dari sudut fizikal, mental, mempunyai jati diri yang tinggi, menguasai Bahasa Arab, memiliki pengetahuan dan keupayaan penting lainnya dalam menghadapi cara pembelajaran, suasana serta cabaran di Timur Tengah,” jelasnya.

Katanya lagi, tawaran tajaan daripada kerajaan negeri dan LZS masih terbuka bagi pengajian peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) do Mesir, Jordan dan Maghribi yang juga akan diiklankan pada Jun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN