KOTA BHARU: Kelab Bola Sepak Kelantan Darul Naim (KDN FC) yakin pasukan itu akan terus kekal dalam saingan Liga Super 2025/2026 apabila sedang melengkapkan lesen kebangsaan dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Presidennya Rozi Muhamad berkata, lebih 90 peratus urusan itu sudah diselesaikan dan ketika ini KDN FC menunggu keputusan daripada First Instance Body (FIB) sama ada kekal atau sebaliknya di Liga Super.
“Saya yakin KDN FC mampu memenuhi semua syarat yang telah ditetapkan oleh MFL.
“Untuk syarat perlesan, kita (pengurusan kelab) sudah melakukan terbaik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Penghargaan KDN FC di sini malam tadi.
Pada majlis itu, Datuk Irwan Rizal Mohd. Ali Napiah turut diumumkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KDN FC yang baharu.
Mengulas pelantikan Irwan Rizal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KDN FC, Rozi memberitahu, ia merupakan salah satu usaha memperkukuhkan lagi pasukan dalam mengharungi saingan musim hadapan.
Katanya, beliau yakin Irwan Rizal yang mampu melaksanakan perubahan besar dari segi pengurusan termasuk memperkasakan kewangan pasukan.
“Untuk saingan musim baharu KDN FC melakukan perubahan besar-besaran dalam barisan pemain dan pengurusan pasukan,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, KDN FC dijangka kekal dalam saingan bola sepak Liga Malaysia (Liga M) musim depan jika urusan pemindahan kepada pemilik baharu berjaya dimuktamadkan.
Mendedahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, penjualan itu merupakan usaha menyelamatkan pasukan tersebut daripada terkubur.-UTUSAN