KUALA KRAI: Seorang kakak tidak sempat melihat adiknya diijab kabul petang esok apabila maut selepas kereta yang dinaiki bersama anak perempuan tunggalnya dan menantu dipercayai gagal memotong kenderaan lain lalu bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 104 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Sungai Sam di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, Nurul Ain Abdul Rahim, 39, dan anaknya Nur Atiqah Najihah Mohd. Shah Penilzain, 18, serta Mohamad Faris Kamaludin,24, maut di lokasi akibat kecederaan parah.
Adiknya, Mohd. Syafiq Abdul Rahim, 24, berkata, kemalangan yang menimpa kakak dan anak saudara serta suami itu diketahui selepas selesai menunaikan solat Jumaat.
Menurutnya, peringkat awal dia sama sekali tidak menyangka video kemalangan yang tular di laman sosial itu melibatkan keluarga kakaknya.
“Selepas meneliti dan melihat warna kereta yang dinaiki mereka saya terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai untuk membuat pengesahan.
“Hasil semakan, polis mengesahkan kakak, anak dan menantu telah maut dalam kemalangan tersebut” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail Petra, di sini hari ini.
Syafiq memberitahu, kali terakhir dia berhubung dengan kakaknya itu pada pukul 10.30 pagi tadi dan mereka memaklumkan sudah di Ciku, Gua Musang.
Katanya, kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Kayu Rendang, Melor untuk menghadiri majlis pernikahannya yang akan berlangsung pada pukul 2.30 petang esok di Besut, Terengganu.
“Kakak, anak dan menantu bertolak dari Johor pada pukul 1 pagi. Sebelum kejadian saya sudah meminta mereka untuk pulang ke Kelantan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) namun kakak tetap mahu melalui Jalan Gua Musang.
“Saya ada meminta anak saudara menyiapkan barang hantaran untuk majlis esok. Kesemua mereka pulang untuk meraikan hari bersejarah saya,” ujarnya.
Mohd. Syafiq berkata, kesemua jenazah akan dibawa pulang ke Kampung Kayu Rendang, Melor untuk urusan pengkebumian.-UTUSAN