Harga rumah tiga kali ganda melebihi had mampu milik

Harga rumah tiga kali ganda melebihi had mampu milik

PROF. MADYA DR. MUHAMMAD NAJIB RAZALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga purata rumah tidak terjual di Malaysia kini mencecah RM602,186 seunit iaitu hampir tiga kali ganda lebih tinggi daripada paras rumah mampu milik sebenar yang dianggarkan sekitar RM216,000.

Menurut anggaran Jabatan Perangkaan tahun lalu, pendapatan purata isi rumah rakyat Malaysia adalah sekitar RM6,000 sebulan atau RM72,000 setahun.

Berdasarkan piawaian United Nations-Habitat dan Bank Dunia, rumah dianggap mampu milik sekiranya harga tidak melebihi tiga kali ganda pendapatan tahunan, iaitu harga rumah mampu dibeli isi rumah median, sekitar RM216,000.

Namun, purata harga semasa rumah tidak terjual kini adalah hampir tiga kali ganda lebih tinggi daripada had tersebut sekali gus menunjukkan krisis ketidaksepadanan yang sema­kin serius dalam sektor harta­nah negara.

Angka semasa menunjukkan jurang besar antara penawaran rumah dan kemampuan pembeli iaitu 2.79 kali lebih tinggi daripada harga mampu milik sebenar.

Pakar Ekonomi dan Kewangan Harta Tanah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Muhammad Najib Razali berkata, masalah utama adalah ketidaksepadanan antara jenis dan harga rumah ditawarkan dengan kemampuan kewangan serta keperluan sebenar pembeli.

“Permintaan yang tinggi datang daripada golongan B40 dan M40 yang mencari rumah mampu milik, bukan unit mewah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan, sebanyak 23,149 unit kediaman pelbagai kategori yang siap dibina bernilai RM13.94 bilion masih tidak terjual sehingga akhir tahun 2024.

Kondominium dan apartmen membentuk 60.5 peratus daripada jumlah kediaman siap dibina tidak terjual.

Muhammad Najib berkata, harga purata rumah untuk golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) hanyalah sekitar RM144,000 manakala golongan berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) pula hanya mampu membeli rumah sekitar RM288,000.

Beliau berkata, ini menjadikan harga purata tersebut masing-masing 4.18 kali dan 2.09 kali lebih tinggi daripada had kemampuan golongan tersebut.

“Kelulusan pinjaman perumahan juga semakin ketat. Ramai yang tidak memenuhi nisbah hutang kepada pendapatan (DSR) atau mempunyai rekod kredit yang lemah walaupun sebenarnya berminat membeli.

“Lambakan rumah tidak terjual boleh menjejaskan aliran tunai pemaju, meningkatkan risiko pinjaman tidak berbayar (NPL) dan memberi kesan sistemik kepada sektor kewangan negara,” katanya.

Beliau berkata, walaupun permintaan terhadap apartmen dan kondominium menurun, pemaju masih meneruskan projek kediaman bertingkat tinggi,

Jelasnya, ia mengambil kira pemaksimuman penggunaan tanah di kawasan bandar, margin keuntungan lebih tinggi bagi unit mewah, serta kelulusan pembangunan lebih mudah

“Sebahagian pemaju masih yakin gaya hidup urban moden akan meningkatkan permintaan terhadap kediaman strata. Tapi realitinya, kadar kekosongan kondominium mewah di Kuala Lumpur sudah mencecah 28.7 peratus,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya