PETALING JAYA: Hartal Doktor Kontrak mendakwa Kementerian Kesihatan (KKM) gagal menunaikan janji untuk mengadakan sesi townhall bagi menjelaskan isu berkaitan sistem e-penempatan, meskipun sebelum ini dimaklumkan sesi libat urus itu akan dilaksanakan.
Menurut jurucakap kumpulan itu, tiada sebarang maklumat terkini diterima setakat ini, sekali gus menimbulkan rasa kecewa dan hilang kepercayaan dalam kalangan petugas kesihatan.
“Tiada. Walaupun diberitahu akan ada sesi townhall, tapi sehingga kini masih tiada apa-apa info,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan sistem e-penempatan bagi 2,245 pegawai masih lagi belum dibuka hingga kini.
Jurucakapnya berkata, keadaan itu amat membimbangkan kerana tarikh akhir yang dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sudah semakin hampir.
Katanya, kelewatan dalam pembukaan sistem e-penempatan bukan sahaja memberi tekanan kepada pegawai perubatan terbabit, malah turut menjejaskan perancangan kerjaya dan kehidupan mereka
Mengulas lanjut, Hartal berkata, kelewatan tersebut memberi isyarat seolah-olah kementerian tidak bersungguh-sungguh menyelesaikan isu membabitkan kebajikan dan masa depan doktor kontrak.
“Pihak KKM harus serius dalam menunaikan janji supaya rakyat dan para pekerja kesihatan tidak rasa tertipu dan hilang keyakinan dengan kementerian.
“Mungkin kelewatan ini berlaku susulan pelantikan Ketua Pengarah Kesihatan yang baharu, namun kami berharap akan ada perubahan positif selepas ini,” katanya.
Menurutnya, sesi yang dijanjikan itu sepatutnya menjadi platform untuk menjelaskan pelaksanaan sistem e-penempatan yang menerima pelbagai rungutan, termasuk masalah teknikal, kekeliruan semasa permohonan dan penempatan tidak menepati keperluan fasiliti serta faktor peribadi pegawai.
Sistem e-penempatan diperkenalkan bagi menempatkan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi secara automatik selepas tamat latihan siswazah, namun didakwa tidak bersifat responsif terhadap beban kerja dan nisbah doktor pesakit yang kritikal di kawasan luar bandar.
Malah, fasa pertama pelaksanaannya sebelum ini menyaksikan ramai pegawai gagal mengakses sistem akibat masalah pelayan, menyebabkan tekanan dan kekeliruan dalam kalangan pengguna. – UTUSAN











