Dua penjenayah ditembak mati

Dua penjenayah ditembak mati

DUA penjenayah mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di bangunan Youth City, Residence Nilai, Nilai, Seremban malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN : Polis menembak mati dua penjenayah dalam kejadian di ruang tempat letak kereta bangunan Youth City, Residence Nilai di sini, malam tadi. 

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), (Risikan/Operasi), Datuk Fadil Marsus, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam selepas anggota JSJ Bukit Aman mengesan kelibat suspek dalam keadaan mencurigakan, sebelum berlaku kejar-mengejar.

“Suspek pertama, lelaki tempatan berusia 40 tahun, mempunyai 76 rekod jenayah lampau, manakala suspek kedua merupakan seorang lelaki berusia 29 tahun memiliki 11 rekod jenayah. 

“Polis merampas dua pucuk pistol iaitu pistol separa automatik dan revolver yang dipercayai digunakan dalam jenayah samun dan berkait dengan kegiatan kongsi gelap serta pengedaran dadah.

“Hasil risikan, lebih 70 kes jenayah disyaki berpunca daripada kumpulan ini, melibatkan kawasan sekitar Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor. Kami juga tidak menolak kemungkinan penglibatan mereka dalam kes jenayah kekerasan di kontinjen lain,”katanya pada sidang akhbar di sini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof. 

Beliau memaklumkan bahawa susulan tangkapan itu, beberapa unit perumahan juga telah diserbu.

Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan tersebut turut aktif dalam kegiatan samun rumah, kilang serta premis penyimpanan barangan di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.

“Suspek bergerak secara mobile dan menjadikan kawasan ini sebagai tempat persinggahan. Mereka menggunakan kenderaan jenis Toyota berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran yang ditukar setiap dua hari bagi mengelak dikesan,” katanya.

Katanya, polis kini giat memburu baki ahli kumpulan yang masih bebas dan percaya lebih banyak tangkapan serta rampasan dadah dan wang tunai akan dibuat.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN