KANGAR: Sebuah iklan istimewa bertajuk ‘Tuai Kasih’ yang penuh dengan warna-warni dan semangat kekeluargaan bersempena sambutan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan 2025 menarik perhatian ramai.
Karya kreatif, unik serta berbeza daripada kelaziman itu hasil cetusan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Setiausaha akhbar Menteri Perpaduan, Dr. Shatesh Kumar Sanggar berkata, iklan tersebut bukan sekadar bahan promosi sempena dua perayaan di Malaysia namun ia merupakan simbol keindahan nilai kebersamaan dan penerimaan budaya dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kaum.
Katanya, Tuai Kasih tampil sebagai karya seni visual yang memukau dengan menggabungkan unsur tradisional seperti tarian etnik dan muzik rakyat yang disusun melodi lunak penuh emosi.
“Dengan membawa tema ‘dalam setiap sambutan, kita raikan keharmonian dalam kepelbagaian’, penyampaiannya juga
tidak hanya menyentuh lapisan masyarakat dari Sabah dan Sarawak, tetapi merentasi sempadan kaum dan agama sekali gus menjadikan ia relevan yang menyentuh hati seluruh rakyat.
“Dokumentasi budaya dalam Tuai Kasih membawa mesej yang sangat penting dalam konteks Malaysia hari ini iaitu perpaduan hanya dapat dibina melalui saling faham, saling hormat dan penerimaan terhadap perbezaan budaya.
“Dalam sebuah negara yang rencam daripada segi etnik, bahasa dan adat, iklan ini juga menyampaikan mesej bahawa perayaan seperti Gawai dan Kaamatan wajar diraikan bukan sahaja oleh masyarakat asalnya tetapi oleh seluruh rakyat Malaysia sebagai lambang identiti nasional,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, apa yang menjadikan iklan ini begitu berbeza dan luar biasa ialah gabungan teknik sinematografi moden dengan elemen tradisional selain tarian etnik yang diiringi alunan muzik lembut mencipta suasana syahdu yang menjentik rasa bangga dan kasih terhadap warisan budaya tanah air.
Katanya, setiap momen diolah dengan tujuan memperlihatkan keindahan budaya dan kekuatan semangat kekitaan.
“Ia daripada detik persiapan sambutan hingga ke saat komuniti pelbagai bangsa berkumpul dalam suasana penuh ceria dan harmoni. Paparan visual desa dan alam semula jadi Sabah dan Sarawak yang menawan bakal memberi kesan mendalam terhadap penonton.
“Sejak dilancarkan, Tuai Kasih menerima sambutan luar biasa masyarakat dengan tontonan melebihi 2,500,000 di dua platform media sosial Aaron iaitu di Tik Tok dan Instagram sejak dimuat naik pada 26 Mei 2025.
“Masyarakat memuji pendekatan yang kali ini yang disifatkan sebagai kreatif, menyentuh emosi dan mengangkat perpaduan secara halus tetapi bermakna,” katanya.-UTUSAN