Bekas guru hasil modul jadikan matematik lebih mudah, indah

Bekas guru hasil modul jadikan matematik lebih mudah, indah

MUHAMMAD Anwari Zulkpli semasa mengendalikan bengkel matematik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara, Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang bekas guru menghasilkan modul bagi menjadikan subjek matematik lebih mudah dan indah sekali gus membantu pelajar memperoleh keputusan A dalam pe­periksaan.

Muhammad Anwari Zulkpli, 30, yang pernah berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mutiara, Kuala Lumpur berkata, kaedah ‘15 Hari Meneroka Algebra’ itu timbul selepas dia terkilan melihat ramai pelajar gagal menguasai mata pelajaran itu.

“Hasil dapatan kajian yang dijalankan punca utama adalah gagal menguasai algebra yang merupakan asas dunia matematik. Pelajar ‘wajib’ menguasai algebra dulu sebelum hendak belajar topik lain.

“Alhamdulillah, apabila pelajar menguasai algebra, mereka sudah memahami selok-belok dalam dunia matematik. Bertitik-tolak daripada situ saya jumpa kaedah menguasai algebra dalam tempoh 15 hari,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Graduan Ijazah Kelas Pertama dalam Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Matematik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berkata, dia sedih melihat ramai pelajar yang ‘terkandas’ dalam subjek matematik.

Katanya, matematik ada salah satu mata pelajaran pen­ting yang digunakan dalam kehidupan seharian.

“Selepas kaedah ini diperkenal, pelajar menjadi lebih faham dan mudah menguasai matematik menerusi latihan praktikal untuk menguasai algebra yang terdapat dalam modul tersebut.

“Proses itu menyebabkan pelajar semakin berminat untuk menguasai subjek tersebut. Hasrat utama saya mahu mengubah persepsi terhadap matematik yang sering dianggap sebagai subjek ‘pembunuh’ setiap kali peperiksaan. Bila pelajar dapat menguasai matematik, mata pelajaran matematik tambahan menjadi lebih ‘indah’,” ujarnya.

Muhammad Anwari berkata, ketika ini dia sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana sepenuh masa dalam bidang matematik.

Katanya, keputusan bersara awal itu bertujuan memberikan lebih banyak ruang untuk membantu pelajar-pelajar menguasai matematik secara lebih tenang.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN