Bangladesh gantung pendaftaran parti Sheikh Hasina

Bangladesh gantung pendaftaran parti Sheikh Hasina

RUSUHAN Bangladesh menyebabkan lebih 100 nyawa terkorban.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya Bangladesh menggantung pendaftaran parti Liga Awami yang diketuai bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina.

Tindakan itu sekali gus menghalang parti tersebut daripada bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Langkah berkenaan diambil selepas kerajaan sementara yang dipimpin Muhammad Yunus, mengharamkan semua aktiviti Liga Awami di bawah Akta Antikeganasan susulan beberapa hari protes.

Kerajaan memetik ancaman terhadap keselamatan negara dan siasatan jenayah perang yang sedang berjalan terhadap kepemimpinan tertinggi parti itu berhubung kematian ratusan penunjuk perasaan sebagai alasan tindakan tersebut.

“Dengan larangan oleh Kementerian Dalam Negeri terhadap semua aktiviti Liga Awami dan pertubuhan yang berkaitan dengannya, Suruhanjaya Pilihan Raya memutuskan untuk menggantung pendaftaran parti tersebut,” kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Akhtar Ahmed.

Di bawah undang-undang pilihan raya Bangladesh, parti politik mesti berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengambil bahagian dalam pemilihan negara.

Penggantungan itu bermakna Liga Awami – yang menerajui negara selama lebih 20 tahun – kini secara rasmi hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, kecuali larangan itu ditarik balik dan pendaftaran dipulihkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya juga mengeluarkan arahan melarang parti itu dan pertubuhan bersekutunya daripada menjalankan sebarang aktiviti politik, termasuk penerbitan, kemunculan di media, kempen dalam talian dan media sosial, perarakan, perhimpunan atau persidangan, sehingga Tribunal Jenayah Antarabangsa menyelesaikan prosidingnya.

Hasina, turut dituduh melakukan pelanggaran hak asasi manusia dan menekan suara pembangkang, memenangi penggal keempat berturut-turut pada 2024.

Namun, pilihan raya tersebut diboikot oleh pembangkang utama, yang kebanyakan pemimpinnya dipenjarakan atau hidup dalam buangan.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN