PETALING JAYA: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Kelab IQRA’ dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperkukuh jaringan akademik antarabangsa menerusi penganjuran Kongres Persatuan Bahasa Arab (ArLAC) 2025 yang menghimpunkan mahasiswa bahasa Arab dari dalam dan luar negara.
Pengarah program ArLAC 2025, Nurul ‘Ajilah Mohd. Ariffi berkata, program itu menjadi platform strategik memperluas wacana ilmiah dan memupuk pemikiran kritis dalam kalangan pelajar yang aktif dalam bidang bahasa Arab.
“Kongres ini bertujuan mengangkat peranan mahasiswa sebagai ejen ilmu berwibawa serta memperkasa bahasa Arab sebagai bahasa ilmu dan komunikasi sejagat.
“Ia turut menjadi medan perbincangan isu-isu kontemporari merentas bidang pendidikan, bahasa dan pemikiran Arab,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
ArLAC 2025 menampilkan persidangan ilmiah serta sesi wacana bersama tokoh akademik tempatan dan antarabangsa, memberi peluang kepada peserta bertukar pandangan serta membina persefahaman rentas budaya.
Sementara itu, Yang Dipertua ArLAC, Shamsul Aiman Shamsul Bahrin berkata. penganjuran ini sebagai pencapaian penting membuktikan kesungguhan mahasiswa dalam mengangkat Malaysia sebagai hab perbincangan ilmiah Arab di rantau ini.
“Ia pencapaian bermakna yang mencerminkan keseriusan mahasiswa bahasa Arab dalam meneroka ruang global.
“Penglibatan aktif peserta antarabangsa, menjadi titik penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab ilmu dan perbincangan ilmiah bidang pengajian Arab di rantau ini,” katanya.-UTUSAN.