KANGAR: Mangsa yang maut akibat dipanah petir sewaktu keluar memukat udang di pesisir Pantai Kuala Sungai Padang, Simpang Empat, di sini semalam dikatakan menunjukkan tingkah laku berbeza sebelum berlakunya kejadian itu.
Abang mangsa, Maszelan Othman, 46, berkata, sewaktu kali terakhir bertemu di jeti sebelum keluar ke laut, adik bongsunya, Muhamad Faiez Othman, 28, juga kelihatan kurang ceria dan tidak sama seperti hari-hari kebiasaan.
Kata Maszelan, adiknya juga sempat berpesan untuk menjaga ketiga-tiga anaknya yang masih kecil sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
“Adik saya mempunyai tiga orang anak lelaki berusia enam tahun, setahun dan enam bulan. Kami pun agak pelik kenapa arwah tidak begitu ceria dengan gelak tawa seperti kebiasaan. Tidak sangka kejadian seperti ini berlaku secara tiba-tiba,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian mangsa di Taman Perkuburan Islam Simpang Sanglang, di sini, hari ini.
Dalam kejadian semalam, Muhamad Faiez dilaporkan keluar bersama seorang awak-awak menaiki bot sekitar pukul 7 petang dari Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Sanglang ke pesisir Pantai Kuala Sungai Padang, Simpang Empat untuk memukat udang.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, selepas beberapa jam, mangsa membuat keputusan pulang semula ke jeti LKIM Kuala Sanglang sekitar pukul 9.50 malam susulan hujan namun dipanah petir dan dilaporkan meninggal dunia.
Sementara itu, menurut saksi, Ibrahim Hasri, 23, kejadian itu berlaku begitu pantas malah dia juga tidak menyangka Muhamad Faiez akan dipanah petir sewaktu mereka dalam perjalanan pulang ke jeti.
Menurutnya, ketika sedang bergegas pulang, dia melihat cahaya panahan petir menyambar disebelah telinganya dan setelah berpaling ke belakang, mangsa didapati tidak sedarkan diri dengan beberapa kesan lecuran.
“Saya duduk di bahagian depan sewaktu kejadian dan bila panahan petir itu, saya berpaling ke belakang dan lihat dia sudah tak sedarkan diri. Saya kemudian meminta bantuan rakan-rakan nelayan lain yang berada berhampiran lalu mereka membawa mangsa pulang ke jeti,” katanya.
Tambah Ibrahim, selepas kejadian itu, dia turut mengalami sedikit kecederaan di telinga kanan yang turut mengganggu pendengaran dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
“Saya memang sedikit trauma dengan kejadian ini tapi akan kembali semula ke laut selepas ini untuk mencari rezeki,” katanya.-UTUSAN