30 pasukan bakal 'gegar' Kejohanan Takaful Ikhlas Ragbi Diraja Perlis Terbuka 7 - Utusan Malaysia

30 pasukan bakal ‘gegar’ Kejohanan Takaful Ikhlas Ragbi Diraja Perlis Terbuka 7

SIDANG akhbar majlis pra pelancaran Kejohanan Takaful Ikhlas Ragbi Diraja Perlis Terbuka 7 atau Perlis Royal 7s di Arauberry, Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Sebanyak 30 pasukan bakal menyertai Kejohanan Takaful Ikhlas Ragbi Diraja Perlis Terbuka 7 sebelah atau Perlis Royal 7s 2025 pada 31 Mei hingga 1 Jun depan.

Lebih menarik pada edisi kali ini, beberapa pemain ragbi kebangsaan antarabangsa dari England, Papua New Guinea, Australia dan Thailand dijangka bersama memeriahkan kejohanan berkenaan.

Kejohanan anjuran Persatuan Ragbi Perlis (PRP) itu semakin mendapat perhatian komuniti ragbi peringkat antarabangsa walau hanya pasukan dan kelab tempatan serta di peringkat Asia Tenggara sahaja dijemput menyertainya.

Pengarah Kejohanan Perlis Royal 7s 2025, Mohd Hafiz Zainon berkata, berbanding pada edisi lalu, kejohanan pada tahun ini akan menghimpunkan sebanyak 30 pasukan yang akan bertanding dalam tiga kategori.

Katanya, jika edisi tahun lalu hanya melibatkan 28 pasukan namun kali ini penyertaan meningkat kepada 30 pasukan.

Ujarnya, pasukan terlibat akan bersaing dalam tiga kategori iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka dan Lelaki Bawah 20 tahun.

“Malah, kejohanan kali ini agak istimewa apabila selain perlawanan dijalankan di Padang B Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra (STSP), pasukan atau kelab ragbi yang bertanding juga berpeluang untuk pertama kali bermain di dalam Stadium Tuanku Syed Putra.

“Selain daripada itu, bagi edisi kali ini, kita (PRP) membenarkan penggunaan pemain import antarabangsa di mana kesemua kelab ragbi yang mengambil bahagian sama ada lelaki dan wanita kecuali pasukan atau kelab yang bersaing bagi kategori bawah 20 tahun boleh menggunakan bilangan pemain import antarabangsa tanpa had,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis pra pelancaran Kejohanan Ragbi Perlis Royal 7s di Arauberry Event and Space di sini hari ini.

Antara kelab ragbi tempatan terkenal yang akan mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini adalah KL Saracens, Perlis Border Boys, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Perbandaran Klang (MPK) Royal Town dan Bunga Raya Seven Ladies.

Mohd Hafiz berkata, pihaknya difahamkan kelab seperti KL Saracens juga dijangka menggunakan khidmat pemain import dari England manakala kelab seperti ATM pula membawa masuk import dari Papua New Guinea.

“Perlis Perlis Border Boys dan Perlis Border Girls pula akan menggunakan khidmat import dari Thailand.

“Selain itu, seperti tahun lalu, edisi kali ini turut akan menyaksikan penyertaan kelab ragbi serantau seperti DKI Jakarta (Indonesia), Thaksin University (Thailand) serta satu pasukan dari Singapura,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN