28 trip feri tambahan sempena LIMA’25

28 trip feri tambahan sempena LIMA’25

SEBANYAK 28 trip feri tambahan disediakan untuk kemudahan orang ramai di Terminal Feri Kuala Perlis sepanjang tempoh penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) pada 20 sehingga 24 Mei ini. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebanyak 28 trip feri tambahan disediakan untuk kemudahan orang ramai di Terminal Feri Kuala Perlis di sini sepanjang tempoh penganjuran Pameran Antarabangsa Ma­ritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) pada 20 sehingga 24 Mei ini.

Penambahan trip tersebut adalah bagi memenuhi permintaan tinggi pengunjung untuk ke Langkawi bersempena penganjuran tersebut.

Pengurus Operasi Ferry Line, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, sambutan jualan tiket feri dari terminal berkenaan menjelang seminggu sebelum penganjuran LIMA’25 itu begitu menggalakkan.

Katanya, untuk tempoh bermula dari 20 hingga 24 Mei ini, sebanyak 12,500 tiket feri telah terjual dari terminal Kuala Perlis dengan masih berbaki sekitar 10,000 tiket sahaja lagi.

“Beberapa persediaan telah dilakukan pihak Ferry Line dalam memastikan perkhidmatan feri buat penumpang dari terminal feri Kuala Perlis ke Pulau Langkawi tidak terjejas sepanjang penganjuran LIMA’25 ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, dilaporkan secara keseluruhan sebanyak 40,000 tiket feri telah terjual dari terminal Kuala Perlis dan Kuala Kedah bersempena pe­nganjuran LIMA’25 ini.

Selain itu, Ferry Line juga akan melanjutkan tempoh peng­operasian feri sehingga pukul 12 tengah malam untuk laluan Kuala Perlis-Pulau Langkawi dan 10 malam dari Kuala Kedah sekiranya permintaan lebih menggalakkan.

Norhafiz berkata, Ferry Line juga bersiap sedia menangani sebarang insiden seperti feri rosak atau terkandas bagi memberikan perkhidmatan terbaik buat penumpang.
“Paras air selamat bagi feri memasuki terminal Kuala Perlis buat masa ini juga masih dikekalkan pada 1.2 meter ke atas.

“Kami juga hanya menunggu pengumuman daripada Jabatan Laut Malaysia untuk mengesahkan kedalaman selamat bagi semua pengangkutan maritim masuk dari alur Kuala Perlis hingga ke terminal ini,” katanya.

Dalam pada itu, Norhafiz berkata, walaupun kerja-kerja pengerukan belum selesai sepenuhnya, Ferry Line tetap mengambil langkah keselamatan supaya semua pengguna perkhidmatan ini tidak terkandas.

Katanya, sekiranya berlaku insiden luar jangka, pihak Ferry Line juga akan memohon bantuan agensi maritim dan rakan-rakan strategik.

“Harapan kami adalah agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik seperti menambahkan bilangan trip feri kepada semua penumpang yang ingin memasuki Langkawi untuk menyaksikan LIMA’25,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN